Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Tiga puluh lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, ketika cuba keluar melalui dua jalan yang tidak sah di sekitar Ladang Mados, Bandar Penawar Kota Tinggi, dekat sini, awal pagi ini.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata PATI yang terdiri 24 lelaki dan 14 wanita itu ditahan ketika menaiki bot pancung, antara 2 dan 3.30 pagi.

"Enam belas anggota PPM Pengerang yang menjalankan Ops Landai di kawasan itu melakukan intipan di sekitar kawasan Ladang Mados Bandar Penawar Kota Tinggi dan menemui kumpulan PATI itu.

“Lapan belas daripada mereka ditahan, kira-kira 2 pagi, di tepi jalan utama ladang itu, manakala baki 20 ditahan di kawasan pantai berhampiran, 3.30 pagi," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua PATI terbabit dipercayai ingin keluar dari Malaysia dan pulang ke Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 3:32 PM