PENDATANG asing tanpa izin ditahan ketika baru mendarat. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin
PENDATANG asing tanpa izin ditahan ketika baru mendarat. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor ketika baru mendarat di Pantai Mados, Bandar Penawar di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan 6.30 pagi itu, semua PATI warga Indonesia yang berusia antara tiga hingga 40 tahun ditahan ketika bot pancung dinaiki mereka baru mendarat di pantai berkenaan.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI itu cuba menyusup masuk ke negara ini mengikut laluan yang tidak sah.

"Lima lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ditemui berada dalam semak sementara menunggu untuk dibawa ke lokasi tertentu.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar di sini, bagi siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen dan memasuki negara melalui jalan yg tidak diwartakan," katanya.

Beliau berkata, PPM akan sentiasa menjalankan operasi dan rondaan bagi mengekang kemasukan PATI secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 12:06 PM