BEKAS pelbagai guna yang menarik dijadikan hiasan.
BEKAS pelbagai guna yang menarik dijadikan hiasan.
TURUT dijadikan hiasan dinding.
TURUT dijadikan hiasan dinding.
SESUAI dalam menyerikan ruang dalaman.
SESUAI dalam menyerikan ruang dalaman.
MENJADI kuntuman bunga indah.
MENJADI kuntuman bunga indah.

Masyarakat pergunungan Irian pada zaman dulu menggunakan kulit siput sebagai mata wang.

Jenis kulit siput yang digunakan adalah daripada jenis ‘cowrie’ dan nilainya cukup tinggi pada masa itu.

Kini cangkerang seperti kulit siput, kupang, kerang dan tiram yang biasanya dibuang boleh diproses menjadi kraf yang amat menarik, termasuk aksesori hiasan wanita.

Kampung Siruk dan Kampung Tanah Hitam adalah antara perkampungan nelayan di daerah Semantan, Sarawak yang cukup popular dengan hasil produk kraf kulit siput ini.

Penduduk kampung ini bernasib baik kerana kediaman mereka terletak berhampiran dengan kawasan pantai. Ini memudahkan mereka mendapatkan bekalan cangkerang siput.

Pada awalnya, mereka hanya menghasilkan tirai pintu, namun lama kelamaan apabila melihat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli, idea-idea baru dizahirkan.

Ia seperti pembuatan rantai kunci, kalung dan bunga daripada kulit siput hingga meletakkan produk kraf ini sama taraf dengan produk hiasan lain.

Demi memastikan produk kraf tangan ini mampu bertahan lama, hanya cangkerang siput yang berkualiti sahaja digunakan. Cangkerang yang diambil juga mempunyai warna menarik dan saiz yang pelbagai.

Ia bagi memudahkan rekaan perhiasan. Antara jenis siput yang menjadi pilihan atau lebih dikenali sebagai ‘koyong’ dalam dialek tempatan ialah koyong rintik, koyong panjang, koyong hidup, koyong terendak besar dan koyong siuk.

Produk kraf dari laut ini juga sesuai dijadikan penyeri sudut rumah atau cenderamata.

Lebih kreatif, kulit siput pelbagai spesies dihimpunkan di dalam balang kaca atau botol yang menarik dan diletakkan di tengah-tengah meja makan.

Menerusi penggunaan bahan asas seperti gam dan cat, segala-galanya boleh bertukar menjadi lebih menarik mengikut kreativiti masing-masing.

Berbekalkan imaginasi, gerudi kecil dan gam yang kuat, cangkerang itu disusun dan dilekat atau diikat membentuk figura menarik.

Akhir sekali, hiasan cangkerang itu dibingkaikan atau dilekatkan pada cermin bagi memberi kelainan dan menawan setiap mata memandang.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:02 AM