Kuala Lumpur: TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) menyasarkan pertumbuhan sebanyak 15 peratus bagi mencatat perolehan jualan tahunan sebanyak RM6.9 juta pada tahun ini berbanding RM5.5 juta pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Husni Johari berkata, TPMB menyasarkan untuk membangunkan 80 usahawan bio dan 70 produk baru tahun ini seiring usaha merangsang pertumbuhan sektor bioteknologi di peringkat akar umbi.

“Sejak penubuhannya pada tahun 2007, kami sudah membantu membangunkan 1,629 usahawan biokolektif yang menjana jumlah pendapatan bernilai hampir RM100 juta pada akhir tahun 2014,” katanya pada majlis pelancaran Seminar Pematuhan Kualiti Produk, di sini, semalam.

Objektif majlis itu adalah untuk memberi maklumat terbaru serta menekankan kepentingan pematuhan kualiti produk untuk dipadankan dengan standard antarabangsa dan memberi gambaran tentang pelbagai keperluan dan peluang menembusi pasaran global.

“Kami juga ingin memastikan usahawan mengemas kini pelbagai isu terkini mengenai keperluan undang-undang bagi memenuhi analisis pihak berkuasa tempatan agar ia tidak bercanggah seterusnya menimbulkan permasalahan lain.

“Seminar itu juga akan memberikan usahawan bio potensi sedia ada dan kefahaman tentang kepakaran, perkhidmatan bersepadu dan keupayaan pengilangan kontrak TPMB dalam membantu meningkatkan keupayaan perniagaan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, TPMB sedang berunding dengan Australia, Brunei, China, Perancis, Korea Selatan dan Singapura bagi menjadi pengeluar produk bioteknologi yang terlibat dalam kontrak pembuatan dan perkhidmatan selain mahu meneroka dan menembusi pasaran luar negara.

Beliau berkata, TPMB menawarkan kontrak pembuatan produk herba dan perkhidmatan makmal, sekali gus menjadikan ia sebagai satu pusat sehenti bagi usahawan.

“Salah satu kelebihan nilai ditambah kepada pelanggan adalah kami mempunyai Makmal Sains Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melakukan ujian halal, analisis dan pengesahan produk.

“Kami menerima banyak pertanyaan dan maklum balas positif dari negara pengeluar dan peruncit, menyatakan minat mereka untuk kerjasama bagi menggunakan kepakaran perkhidmatan serta makmal tersebut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:17 AM