TENGKU Mudzaffar (kiri) pada majlis Pelancaran Aqu Eksklusif di Watsons.
TENGKU Mudzaffar (kiri) pada majlis Pelancaran Aqu Eksklusif di Watsons.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Fountain of Health Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk penjagaan kulit ‘Aqu-its me’ menyasarkan penjualan 30,000 set bersamaan 150,000 unit produknya menjelang akhir tahun pertama kerjasamanya dengan Watsons Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid berkata, menjelang akhir tahun kedua perjanjian itu, pihaknya menjangkakan jualan produk berkenaan menjadi lebih dua kali ganda berbanding tahun pertama.

“Bagaimanapun, jika kami berjaya menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dalam tempoh setahun dari sekarang, jumlah itu dianggarkan lebih memandangkan mungkin terdapat permintaan tinggi di negara terbabit.

“Peranan air dalam penjagaan kulit dan kekurangan air pada kulit adalah punca utama yang membawa kepada dehidrasi dan pembentukan kedutan. Jadi, produk 100 peratus buatan Malaysia ini adalah jenama perintis penjagaan kulit dengan menggunakan kepakaran bio-teknologi terkini untuk memulihkan penghidratan kulit,” katanya pada majlis Pelancaran Rasmi Aqu Eksklusif di Watsons.

Beliau berkata, penggubalan Aqu menggunakan gabungan tumbuhan dan ekstrak buah-buahan bersama bahan bio-teknologi mampu memberi serta mengekalkan keseimbangan kelembapan kulit.

Katanya, formula teras juga terbukti membersih dan mencerahkan kulit secara semula jadi dengan mengaktifkan kembali proses pemulihan serta mengekalkan aliran penghidratan.

Sementara itu, Pengarah Pemasarannya, Adura Kamarul Zaman berkata, pihaknya memulakan perniagaan pada Oktober 2014 menerusi platform atas talian dan memperoleh penjualan Aqu kurang daripada 1,000 unit sebulan sebaliknya menganggarkan mencapai sehingga 6,000 unit untuk tempoh sama dengan kerjasama Watsons Malaysia.

“Setelah menandatangani memorendum ini, kami optimis mampu mendapatkan jualan sehingga 10 kali ganda daripada jualan atas talian kerana mempunyai saluran pengedaran lebih luas iaitu di 111 cawangan Watsons di seluruh Malaysia berbanding sebelumnya.

“Kami amat berbangga kerana pelanggan boleh mendapatkan produk penjagaan kulit kami ini secara eksklusif di Watsons dan ini adalah batu lonjakan untuk syarikat dalam menyaksikan pertumbuhan positif selain ingin melihat produk ini digunakan oleh golongan yang disasarkan,” katanya.

Kini, semua produk terbabit boleh didapati di Watsons berhampiran pada harga antara RM20 hingga RM35 setiap satu, manakala harga setiap set merangkumi lima produk pula bernilai RM132.90.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:56 AM