FOTO Mohd Khidir Zakaria
FOTO Mohd Khidir Zakaria
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang nelayan yang sedang memukat ikan di perairan Tanjung Agas, Linggi di sini, dikejutkan apabila menemui bom lama jenis mortar tersangkut di jaringnya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, dalam kejadian 7.30 pagi, nelayan berusia 40-an itu mendapati bom berukuran 55 sentimeter panjang dan 50 milimeter ukur lilit tersangkut pada pukatnya.

Katanya, disebabkan itu nelayan berkenaan membawa naik bom ke darat sebelum menghubungi pihak polis.

"Polis dimaklumkan kejadian bergegas ke lokasi dan mendapati bom itu diletakkan di bawah sebuah jambatan di Tanjung Agas.

"Setakat ini Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sudah memusnahkan bom itu kira-kira 11 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 2:31 PM