Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee percaya pertemuan persahabatan dengan B-23 Indonesia di Stadium Sijalak Harupat, Bandung pada 21 Mei ini cukup penting bagi persiapan terakhir ke Sukan SEA Singapura meskipun lawannya itu dihimpit masalah dalaman.

Perlawanan menentang Indonesia itu aksi terakhir pasukan muda negara sebelum berangkat ke Singapura bagi memulakan misi memburu pingat emas hujung bulan ini selepas dua siri ujian dengan kelab Liga FAM Real Mulia Isnin lalu dan Sabah esok.

Bagi Kim Swee, beliau tidak menghiraukan kemelut dialami B-23 Indonesia berikutan penggantungan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) oleh kerajaannya kerana yang penting pertemuan dengan lawan setara itu memberikannya peluang menguji kemampuan sebenar pemain.

“Saya tak peduli dengan dengan masalah dihadapi Indonesia kerana saya percaya mereka juga melakukan persiapan rapi ke Sukan SEA.

“Perlawanan ini amat mustahak kerana selepas perlawanan persahabatan dengan Real Mulia dan Sabah Jumaat ini, bertemu Indonesia akan memberikan ujian sebenar pasukan kita kerana menentang lawan sama taraf,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Timor Leste, Laos dan Brunei manakala Indonesia bersaing dalam Kumpulan A dengan pasukan tuan rumah, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Mengulas pertemuan dengan pasukan Liga Perdana di Stadium Likas esok, Kim Swee mahu menurunkan kesebelasan utama, berbeza ketika mengalahkan Real Mulia 4-1.

Namun beliau menyatakan masih mahu memberi peluang kepada pemain lebih berpengalaman seperti Rozaimi Abd Rahman, Gary Steven Robbat, Mohd Ferris Danial Mat Nasir dan Syahrul Azwari Ibrahim untuk beraksi walaupun kurang menyerlah sebelum ini.

“Pemain seperti Gary, Ferris, Syahrul dan Rozaimi akan diberi peluang bermain lebih lama kerana saya mahu mereka kembali mendapat rentak tapi mereka perlu mengambil peluang ini jika tidak, saya akan memikirkan semula kedudukan mereka dalam skuad,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:14 AM