SS tumpang gembira dapat tahu kisah cinta artis popular ini bakal diakhiri ke jenjang pe­lamin tidak lama lagi.

Kalau sudah tertulis jodoh mereka, tiada siapa mampu menghalang ketentuan-Nya.

Khabarnya, artis itu dan pasangannya kini menghitung hari dan sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Apapun, terpulanglah kepada artis itu dan pasangannya untuk buat majlis perkahwinannya secara besar-besaran kerana kalau dia mampu apa salahnya? Janganlah sampai mereka bergolok gadai pula untuk majlis perkahwinan itu nanti.

Bercakap soal sama ada mereka mampu atau tidak, ada cerita buruk yang disampaikan rakan SS mengenai sikap kekasih artis itu yang didakwa liat untuk membayar hutang.

Lebih mengejutkan, bukan seratus dua dia berhutang dengan orang, sebaliknya ia membabitkan puluhan ribu ringgit juga.

Difahamkan, kekasih si artis itu berhutang dengan seorang ahli perniagaan kerana berdepan masalah kewangan sebelum ini. Kerana simpati, ahli perniagaan itu sanggup meminjamkan sejumlah wang kepadanya ketika itu.

Namun selepas perniagaannya mendapat pulangan, kata rakan SS, kekasih artis itu buat-buat lupa pula untuk membayar hutangnya itu sampailah sekarang.

SS harap, kekasih artis itu segeralah membayar hutangnya kepada ahli perniagaan itu dengan segera.

SS bimbang, jika cerita buruk ini diketahui orang, artis itu dan pasa­ngannya juga yang mendapat malu dan aibnya nanti.

SS: Hutang budi dibawa mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM