HM Digital

Seperti yang pernah dikongsi penyanyi Siti Nordiana atau Nana, selepas kejayaan drama bersiri Coklat Semanis Honey, dia akan kembali berlakon dalam Pengantin Puteri Salju.

Drama yang turut dihasilkan produksi milik Michael Ang dan diarahkan pengarah prolifik itu sekali lagi menggandingkan Nana dengan Aliff Satar.

Bagaimanapun, sebelum penggambaran Pengantin Puteri Salju bermula, ada berita menarik yang sampai ke pengetahuan Cik Pang.

Menurut seorang pekerja produksi Pengantin Puteri Salju, Michael berminat melamar penyanyi yang kian popular, Khai Bahar.

Bagaimanapun apa yang membuatkan Cik Pang tercuit hati apabila Michael menggunakan Nana untuk memujuk Khai agar membintangi drama terbabit.

Khabarnya, sewaktu Michael menawarkan satu daripada watak utama drama bersiri berkenaan kepada Khai Bahar, penyanyi yang popular dengan lagu Luluh itu keberatan untuk menerimanya.

Selain berasakan tiada bakat, Khai juga bimbang dengan sikap Michael Ang yang khabarnya sangat garang dan tegas di set peng­gambaran. Perkara itu juga membuatkan hatinya berbelah bahagi untuk menerima tawaran yang diberikan.

Oleh kerana mahu juga Khai membintangi drama terbabit, Michael menggunakan Nana untuk memujuk penyanyi terbabit. Begitupun, menurut sumber produksi walaupun Nana cuba memujuk, Khai masih lagi berdolak-dalih menerima tawaran terbabit.

Bagi Cik Pang sendiri, kalau Khai berbakat dan mahu mencuba bidang lakonan apa salahnya, lagipun sekarang kita dapat lihat ramai artis melakukan banyak kerja.

Sekarang ini ada pelakon sudah menjadi penyanyi dan pengacara manakala pe­nyanyi juga bergelar pelakon. Malah ada penyanyi yang menjadi pelakon jauh lebih popular berbanding pelakon sedia ada. Me­ngambil contoh Datuk Awie dan Nana sendiri.

Pesan Cik Pang kepada Khai mengenai tawaran yang diberikan Michael, tepuk dada tanya selera. Kalau rasa diri ada bakat tak salah mencuba tetapi kalau tiada bakat baik tak payah buat kerana bimbang nanti apabila drama itu ditayang kelak akan menjadi bahan mengata umum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 5:09 AM