YUSOFF (dua kanan) melancarkan logo Piala Airmarine di Kuala Lumpur, semalam. — FOTO Hafiz Sohaimi
YUSOFF (dua kanan) melancarkan logo Piala Airmarine di Kuala Lumpur, semalam. — FOTO Hafiz Sohaimi
Meor Riduwan Meor Ahmad


TIGA negara Oman, Kepulauan Solomon dan Singapura akan berentap dengan Harimau Malaya pada kejohanan sulung Piala Airmarine di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 20 dan 23 Mac depan.

Biarpun tanpa aksi bekas finalis Piala Dunia, New Zealand yang diganti dengan Kepulauan Solomon, kejohanan empat negara itu tetap menjanjikan aksi hebat kerana setiap pasukan dijangka menampilkan pasukan kebangsaan.

Kejohanan itu juga tersenarai dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menjanjikan aksi hebat setiap pasukan demi menjaga ranking mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, kejohanan itu akan menjadi medan ujian buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam persiapan menjelang kelayakan Piala Dunia 2022.

Katanya, perlawanan itu juga diharap dapat memperbaiki ranking Harimau Malaya yang kini berada di tangga ke-167.

“Kejohanan ini akan menjadi kesinambungan buat skuad kebangsaan yang menyinar pada Piala AFF tahun lalu untuk memulakan satu pelan pembangunan yang komprehensif dan menjadi pasukan bola sepak disegani.

“FAM memutuskan akan menampilkan pemain senior bagi kejohanan ini manakala skuad bawah 23 tahun negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee membuat persediaan bagi kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 tahun juga berlangsung bulan depan.

“Saya fikir ramai pemain lebih 23 tahun boleh dipilih mengisi kesebelasan utama Harimau Malaya,” katanya pada majlis pelancaran Piala Airmarine di Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 7:10 PM