London: Susie Wolff (gambar) akan kembali memandu kereta Formula Satu Williams di Barcelona esok dengan satu sasaran jelas dalam benak fikirannya.

Tahun lalu, pemandu Scotland berusia 32 tahun itu mencuri tumpuan pada sesi latihan bebas di Silverstone apabila dia muncul pemandu wanita pertama dalam tempoh 22 tahun terbabit dengan saingan Grand Prix pada hujung minggu.

Kali ini, penampilannya di Litar Catalunya hadir 40 tahun selepas satu-satunya perlumbaan F1 yang menyaksikan pemandu wanita meraih mata, kejayaan pemandu Itali, Lella Lombardi menghuni tangga keenam pada Grand Prix Sepanyol 1975.

Bagaimanapun impian Susie muncul pemandu Grand Prix wanita pertama sejak 1976 masih jauh daripada jangkauannya.

“Saya sudah beraksi dalam kereta ini, saya sudah mempamerkan keupayaan, saya berada dalam sebuah pasukan yang kompetitif, saya memandu kereta yang mampu menjejak podium,” katanya.

“Saya berasa semakin hampir melakukannya tapi sebenarnya masih jauh.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:29 AM