Barcelona: Di sebalik kelibat Lionel Messi dan 14 pemenang Piala Dunia, tumpuan pasti terarah ke tepi padang apabila Pep Guardiola mengemudi pasukan Bayern Munich memasuki stadium yang sudah lama dianggapnya laman sendiri, awal pagi esok.

Guardiola sudah berada di Nou Camp beratus kali, sebagai kapten ketika bermain selama 11 tahun dan paling diingati menang 14 trofi dalam tempoh empat tahun sebagai jurulatih paling berjaya kelab itu.

Kali terakhir beliau berada di sana, bagi pertemuan Barca dan Manchester City pada pusingan kedua Liga Juara-Juara Februari lalu, beliau duduk di tempatnya dengan tiket semusim dalam kalangan penonton di sisi bapanya.

Bagaimanapun minggu ini beliau akan mengalaminya dari sudut berbeza, sebagai jurulatih pasukan lawan apabila Bayern bertandang ke Catalunya bagi pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Kunjungannya pasti dinantikan bekas rakan sepasukan dan rakan karib Luis Enrique .

Bos Barca itu mengikut jejak langkah Guardiola sepanjang karier pemain dan jurulatih.

Enrique menjadi kapten selepas pemergian Guardiola dan memulakan karier pengurusan dengan menggantikan bekas rakan sepasukannya itu sebagai jurulatih Barca B apabila Guardiola mengambil alih pasukan senior pada 2008.

Rentak itu berterusan apabila Barca memanggil bekas legenda itu bagi menyemarakkan semula skuad bermasalah selepas semusim tanpa sebarang trofi dengan melantik Enrique, seperti ketika mereka mengambil Guardiola menggantikan Frank Rijkaard.

Hampir 12 bulan kemudian, Enrique berada di ambang menyamai pencapaian terbesar Guardiola dengan merangkul tiga trofi pada musim sulung mengendalikan kelab itu.

Selain memburu kejuaraan Piala Eropah kelima, Barca mendahului La Liga dengan dua mata ketika berbaki tiga perlawanan dan akan menanti kunjungan Athletic Bilbao pada final Piala Raja Sepanyol hujung bulan ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:35 AM