DARI kiri, Dollah, Roshan dan Deborah pada majlis pelancaran kempen.
DARI kiri, Dollah, Roshan dan Deborah pada majlis pelancaran kempen.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendapati 12.9 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan manakala 17.2 peratus mengalami pembesaran yang terbantut.

Pada 2011 pula, kajian yang sama mendapati 12.3 peratus kanak-kanak berusia antara 10 tahun hingga 14 tahun dan 16.7 peratus kanak-kanak berusia antara 15 hingga 17 tahun mengalami masalah kurang berat badan.

Selain itu, kanak-kanak di Malaysia juga didapati menghadapi masalah pemakanan tidak seimbang sehingga menjurus kepada segelintir kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes.

Lebihan berat badan sememangnya memberi implikasi negatif kepada kanak-kanak kerana ia menyebabkan masalah kesihatan seperti kencing manis dan kegagalan jantung.

Menyedari hakikat itu, empat personaliti terkenal negara ini berganding bahu menyertai kempen One Goal Malaysia untuk menyebarkan mesej 'Makan, Bermain, Hidup Sebetulnya' dalam usaha menyeru pengambilan pemakanan seimbang dalam kalangan kanak-kanak.

Empat personaliti itu adalah ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh; ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee; aktivis hak asasi manusia dan bekas ratu cantik Malaysia, Deborah Henry dan pengacara televisyen Astro SuperSports, Roshan Narayan.

One Goal adalah pergerakan inisiatif Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan World Vision untuk menamatkan pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak di Asia.

Di Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi rakan kongsi utama kempen itu.

Ketua Eksekutif One Goal Malaysia Stuart Ramalingam berkata, pihaknya gembira dengan pembabitan personaliti sebagai duta.

"Dengan sokongan mereka, kami berharap dapat mencapai sasaran menamatkan pemakanan tidak seimbang di negara kita dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi golongan sihat dan aktif.

"Bagi menamatkan pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak, kita memerlukan pendekatan pelbagai agensi dan disiplin. Setiap orang mempunyai peranannya sendiri," katanya.

Selain membina strategi penyelesaian kepada pemakanan tidak seimbang kanak-kanak, kempen itu juga membincangkan cara untuk meningkatkan pembabitan rakan kongsi dalam sukan dan aktiviti sukan yang bakal dianjurkan.

Menurut Stuart, One Goal bukan setakat gabungan perkongsian organisasi, tetapi kempen yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat.

Katanya, pihaknya mendekati setiap kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan sahabat supaya mereka menyertai kempen itu bagi membantu menangani masalah pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak.

"Kita akan bermula dengan langkah yang baik sekiranya setiap peminat bola sepak bersama keluarga mereka bersemangat dalam isu pemakanan seimbang sebagaimana mereka berminat dalam sukan bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:05 AM