ZAIMI Zulkafli
ZAIMI Zulkafli

Minggu ini Moda ingin memperkenalkan seorang pereka muda berbakat, Zaimi Zulkafli, 26.

Orangnya berkaca mata, mesra disapa Zaimi dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dia adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan ketiga-tiga persalinan yang dipakai ‘cover girl’ Zon Interakrif Pesona (ZIP) edisi Mei yang menampilkan pelakon hangat, Natasha Shiela Abd Razak atau nama pentasnya, Tasha Shilla.

Dihidu menerusi ruangan IG sekitar pertengahan Februari lalu, Zaimi berjaya menyiapkankan lima helai persalinan Tasha dalam masa seminggu sebelum ZIP memulakan penggambaran pada penghujung Februari lalu.

ZIP yang membawakan konsep media Interakrif dalam penghasilan muka depannya, meminjam aura mendiang Audrey Hepburn untuk dihidupkan kembali oleh Tasha.

Apabila diperhatikan, raut wajah kedua-duanya juga ada persamaan iaitu Tasha dan Aubrey memiliki ulas bibir nipis, sepasang mata bundar serta raut wajah bersegi.

“Berinspirasikan keghairahan watak Audrey Hep­burn dalam cerita Breakfast at Tiffany’s, rekaan rona merah ‘draping pleated’ menjadi taruhan bagi Tasha digabungkan helaian sutera sifon yang diimpakkan ‘sillhoutte’ gaun ‘jumpsuit’. Gaun minimalis hitam digarapkan potongan panel dan gabungan sutera sifon dan satin pernah menjadi gaya iconic bintang My Fair Lady itu,” katanya.

Berdasarkan rujukan yang dibuat, gaun hitam rekaan Hubert de Givenchy itu masih kekal sebagai pakaian selebriti termahal pernah dibida mengatasi gaun putih ikonik digayakan mendiang primadona Marilyn Monroe.

Bekerja sepenuh masa sebagai pensyarah jurusan rekaan fesyen di Management & Science University (MSU), Zaimi juga baru-baru ini menyiapkan persalinan istimewa buat penyanyi Adira dan Hafiz Suip untuk penggambaran klip video single terbaru mereka. Selain itu, rekaannya juga sering dipakai pelakon cantik, Siti Elizad.

“Saya memang ada perancangan untuk terbabit sepenuh masa dalam bidang rekaan fesyen, tetapi saya juga sayangkan kerjaya saya sebagai pendidik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:46 PM