RAWATAN awal membantu memulihkan penampilan pesakit.
RAWATAN awal membantu memulihkan penampilan pesakit.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Kita biasa mendengar mengenai pembedahan mata atau melakukan laser bagi meningkatkan tahap penglihatan. Namun, kita jarang mendengar mengenai pembedahan tulang mata atau orbit.

Ia dilakukan bertujuan memperbaiki kedudukan bola mata yang terperosok masuk ke dalam soket tulang mata yang patah akibat kemalangan jalan raya serta menangani masalah penglihatan berganda atau dikenali sebagai diplopia.

Menggunakan bahan implant maksilofasial orbit yang direka khas untuk pesakit dikenali sebagai polyetheretherketone (Peek), pembedahan itu adalah yang pertama seumpamanya menggunakan implan orbit spesifik pesakit (patient specific orbital implant) yang pernah dilakukan di negara ini.

Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohd Nazimi Abd Jabar berkata, pembedahan sekunder dilakukan pada Jun 2013 dan dijalankan selama 30 minit itu dikendalikan oleh sekumpulan Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial serta seorang pakar oftalmologi.

“Sehingga kini selepas hampir dua tahun pembedahan dan lawatan susulan dilakukan, ia berjaya mengubah semula penampilan pesakit apabila bola mata kanan pesakit kini berada di kedudukan yang selaras dengan mata kiri dan pulih hampir 90 peratus kepada keadaan asal tanpa sebarang komplikasi besar.

“Meskipun pembedahan membetulkan tulang membabitkan dinding dan lantai mata dianggap rutin di PPUKM, namun kebanyakannya membabitkan pembedahan dalam tempoh awal iaitu dilakukan sebaik mendapat kecederaan atau sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu kecederaan dialami,” katanya kepada Metro Ahad.

Pembedahan sekunder atau reoperative adalah lebih kompleks serta memerlukan perancangan rapi menggabungkan analisa terperinci kecederaan dan membabitkan teknologi cetakan tiga dimensi atau lebih dikenali sebagai additive manufacturing.

Proses perancangan pembedahan yang mengambil masa beberapa bulan untuk direalisasikan itu membabitkan perbincangan teliti dengan pihak industri peng­imejan dan penyediaan model biomedikal secara virtual hingga kepada konsep reka bentuk spesifik implan yang dikendalikan sepenuhnya melalui sidang video ke luar negara.

“Pengimejan menggunakan CT-scan dalam kes trauma muka dan maksilofasial di Malaysia seharusnya berganjak ke dimensi baru iaitu bukan hanya sebagai alat diagnostik tetapi juga digunakan sepenuhnya ketika intervensi atau pembedahan itu sendiri.

“Walaupun sukar menjamin kejayaan 100 peratus, menggunakan teknik ini disebabkan proses penyembuhan yang rumit, pembentukan parut dan faktor risiko kecederaan saraf serta otot mata, ia diyakini mampu memberi alternatif kepada pesakit yang mengalami kecacatan struktur mata atau tulang muka akibat kecederaan kemalangan jalan raya mahupun kecacatan akibat pembedahan kanser,” katanya.

Beberapa penambahbaikan proses dan reka bentuk bahan yang digunakan juga dikenal pasti melalui pembedahan pertama berkenaan dan laporan kes ini turut diterbitkan dalam jurnal antarabangsa iaitu Journal of Oral and Maxillofacial Surgery, Medicine and Pathology bertajuk Use of Polyetheretherketone (Peek) in orbital floor fracture reconstruction A case for concern pada 28 November 2014.

Keperluan ini menjadi semakin ketara bagi pesakit yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang muka, terutama di bahagian tengah yang turut membabitkan tulang mata.

Kemalangan jalan raya, kecederaan industri dan lain-lain faktor risiko bukan hanya membabitkan kelajuan tinggi tetapi juga impak kuat yang sering menyebabkan kecederaan tulang muka yang parah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 10:38 AM