Oleh Afiq Hanif

Walaupun reka bentuk Dell B2375dnf dilihat seperti sebuah peranti mewah untuk kegunaan di pejabat, namun ia sebenarnya ialah pencetak semua dalam satu kelas pertengahan yang diperkenalkan untuk penggunaan di rumah atau pejabat kecil.

Boleh mencetak, menyalin dan mengimbas, sekali gus menjadikannya sebuah peranti serba guna dengan kualiti amat membanggakan.

Cetakan terus itu mudah dilakukan kerana ia dilengkapi sebuah skrin 4.3 inci boleh sentuh untuk membuat semakan dokumen atau membuat sedikit suntingan mudah. Skrin itu juga boleh dilaraskan mengikut keperluan.

Reka bentuknya menarik dan nampak futuristik menerusi warna hitam. Saiznya juga tidak sebesar mana dan sesuai untuk ruang sempit.

Jika anda inginkan sebuah pencetak semua dalam satu yang ringkas tapi versatil, model ini yang harus difikirkan kerana harganya juga mampu dimiliki.

Dalam uji pakainya, Dell B2375dnf mencetak dengan pantas dan kualitinya sukar dinafikan, begitu juga tugasan menyalin dengan kualiti hampir sama dengan asal, tapi agak perlahan pergerakannya.

Tray memasukkan kertas terletak secara melintang di depan dan tray keluarnya dari bawah ke arah depan. Berdekatan dengan tray keluar itu terdapat penutup untuk menyelaraskan penggunaan kertas mengikut saiz dan tebal.

Satu lagi ialah inovasi penyambungan tanpa wayar menggunakan teknologi WiFi. Dalam sokongannya ke atas pelbagai jenis penyambungan itu, ia masih mengekalkan penyambungan berwayar menggunakan teknologi USB.

Berdekatan dengan panel skrin, terdapat beberapa butang lain termasuk 'Home', kunci, status dan sebagainya yang mudah dilihat.

Dell B2375dnf menggunakan katrij dakwat iaitu hitam dan warna. Pemasangan dakwat menjadi mudah kerana diletakkan di bahagian depan. Hanya angka penutupnya dan kawasan meletakkan dakwat boleh dicapai dengan mudah.

Menggunakan pelarasan paling mudah, ia mencetak pada kelajuan 38 muka surat seminit (ppm) pada dokumen saiz A4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:02 AM