Kalau kita lihat luaran seseorang, kadang-kadang lagaknya macam hebat sangat dan boleh dijadikan idola ramai.

Bagaimanapun jika tahu kisah di belakang tabir, pasti kita akan geleng kepala seakan tak percaya dengan apa yang berlaku.

Beginilah cerita perihal seorang selebriti popular yang dikenali serta dikagumi ramai ini. Namanya memang menjadi sebutan kerana publisiti berkenaan dirinya tak pernah putus dari dulu hingga kini.

Bagaimanapun, SS terkejut juga apabila mendengar satu cerita berkenaan dirinya yang agak liat nak membayar hutang. Jumlahnya bukanlah banyak sangat, tapi sikap bertangguh dia membuatkan ada hati individu yang kecewa.

Menurut ceritanya individu ini pernah terbabit bekerjasama dengan selebriti itu dalam beberapa program. Segala-galanya sudah dipersetujui termasuk juga pembahagian komisen yang bakal diberikan.

Menerusi kerjasama itu, banyak juga program berjaya diperoleh individu ini yang diberikan kepada selebriti itu. Yang penting jadualnya sentiasa terisi dan tidaklah dia duduk rumah menanti tawaran seperti segelintir orang lain.

Namun yang tak sedapnya, apabila sebut soal duit pasti ada saja alasan yang diberikan selebriti ini. Kadangkala alasan diberikan agak lucu dan tak masuk dek akal, tapi apa lagi individu ini boleh buat.

Individu ini bukanlah berhasrat nak cari gaduh, tapi dia hanya menuntut hak yang sepatutnya. Kalau betul-betul selebriti ini profesional,apa salahnya selesaikan secara baik. Kalau tak mampu bayar penuh pun, bayar ansur-ansur.

Dalam soal ini, SS tak menyebelahi mana-mana pihak kerana tidak tahu perkara sebenar. Apapun SS mendoakan agar segalanya diselesaikan dengan baik dan tiada siapa pun yang rugi.

SS: Hutang emas boleh ­dibayar hutang budi dibawa mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:01 AM