Orang jadi guru vokal, dia pun sama nak jadi guru vokal juga. Namun cara ajarannya pelik dan silap-silap boleh bawa mudarat kepada pelajarnya. Inilah cerita hangat yang disampaikan oleh satu sumber kepada SS, semalam.

Kisahnya berkenaan seorang individu yang terbabit secara tidak langsung dalam bidang seni, turut mengadakan kelas vokal untuk mereka yang berminat jadi artis. Menurut sumber ini, ramai juga yang mengikuti kelas anjuran penyanyi ini.

Mulanya mereka teruja dengan kelasnya kerana pelbagai teknik diajarkan yang mungkin boleh membantu memantapkan lagi vokal mereka sebelum bergelar artis rakaman. Namun perasaan curiga mula timbul apabila dia mula mengajarkan teknik yang pelik dan sukar diterima akal. Mana tidaknya, adakah wajar menyuruh pelajar vokal itu kunyah cili padi dalam jumlah yang banyak.

Bayangkan silap-silap apa yang diajar itu boleh mendatangkan mudarat dan tidak mustahil membahayakan nyawa pelajarnya. Justeru, seorang demi seorang mula angkat kaki daripada meneruskan pembelajaran.

Selain perkara pelik itu, dia juga mendakwa kelasnya mendapat pengiktirafan daripada guru vokal terkenal sedangkan mereka tidak pernah pun melihat bukti yang jelas di depan mata.

Apapun, SS nasihatkan mereka yang nak jadi artis agar jangan terlalu ghairah menyertai kelas vokal daripada orang yang tidak dikenali. Bimbang nanti bukan saja wang yang hilang, malah mungkin kesannya lebih buruk terhadap mereka pada masa depan.

SS: Sudah lali dengan individu yang menyamar dalam bidang seni untuk mencari kesenangan secara mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:30 PM