Redzuan Muharam


Sungai Petani: Perbezaan kaum dan agama bukan halangan untuk guru Geografi, D Chandramathi, 39, menjalin hubungan akrab dan melayan pelajar kelasnya yang majoriti Melayu seperti anak sendiri.

Keakraban itu juga menyebabkan Chandramathi berat melepaskan anak didiknya pada 13 Jun lalu yang menjadi hari terakhir pertemuan mereka di sekolah.

Kisah Chandramathi yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom, di sini, mendapat perhatian netizen selepas salah seorang pelajarnya memuat naik video di TikTok, baru-baru ini.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan Chandramathi menangis sewaktu bersalaman dan memeluk pelajarnya.

"Video itu dirakam ketika saya bertemu pelajar sebaik mereka selesai menjawab kertas terakhir untuk peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

GAMBAR kenangan D.Chandramathi (tengah) bersama pelajar kelasnya.
GAMBAR kenangan D.Chandramathi (tengah) bersama pelajar kelasnya.

"Saya lihat pelajar sedih dan ada yang menangis, jadi reaksi mereka membuatkan saya gagal menahan sebak.

"Mulanya saya tidak tahu video itu tular di TikTok sehingga diberitahu oleh rakan, pagi kelmarin.

"Walaupun ada akaun TikTok, saya tidak begitu pandai kerana masih baru, jadi terkejut juga apabila video itu dapat perhatian ramai," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menceritakan sejauh mana keakrabannya dengan pelajar, Chandramathi berkata, segalanya bermula selepas dia ditugaskan menjadi guru kelas tingkatan 6A/UM tahun lalu yang memberinya peluang meluangkan banyak masa bersama mereka secara bersemuka serta dalam talian.

"Kumpulan pelajar itu istimewa kerana mereka mendaftar masuk sekolah dua tahun lalu iaitu ketika baru tercetusnya pandemik Covid-19.

"Saya guru kelas mereka, jadi ada ketikanya dipertanggungjawabkan juga untuk jadi guru ganti.

"Selain itu, saya banyak bertemu mereka dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diadakan dalam talian dan banyak kali juga berjumpa secara bersemuka ketika kelas tambahan bagi membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan," katanya.

Chandramathi berkata, daripada sekadar guru kelas, akhirnya hubungannya dengan pelajar jadi lebih mesra kerana dia bukan hanya mengajar malah turut menjadi tempat pelajar berkongsi masalah.

"Kalau rasa sedih, mereka akan luahkan dengan saya malah ada di antaranya pernah menangis di hadapan saya ketika berkongsi masalah.

"Mereka turut pelawa saya ketika makan dan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah dua kejutan diterima daripada pelajar sempena ulang tahun kelahiran saya.

"Kelas saya ada 16 pelajar membabitkan 14 pelajar Melayu dan dua lagi India namun saya lebih rapat dengan pelajar Melayu, malah tiada masalah bergaul dengan mereka.

"Saya pernah marah mereka tetapi untuk kebaikan dan kini semua itu tinggal kenangan," katanya yang menjadi pendidik sejak 15 tahun lalu dan berpengalaman mengajar di Kolej Matrikulasi Johor dan Kedah.

Biarpun tidak lagi bersama pelajarnya selepas ini, Chandramathi tetap mendoakan kejayaan semua anak didiknya.

"Saya harap mereka terus kekal cemerlang dalam apa jua bidang diceburi. Jadilah insan yang baik dan disanjungi.

"Diharap semuanya panjang umur dan murah rezeki," katanya yang juga ibu dua anak.

Sementara itu, bekas pelajarnya, Nor Aleya Aelyana Satar, 20, berkata, dia yang memuat naik video di TikTok dan tidak menyangka ia mendapat tontonan yang tinggi.

Berkongsi kenangan dengan Chandramathi, Nor Aleya Aelyana berkata, dia tidak rapat dengan guru kelasnya itu pada awalnya kerana kelas diadakan secara dalam talian tetapi jadi akrab ketika pertengahan semester.

"Ajarannya mudah difahami dan jika ada masalah, memang kami akan kongsi dengannya kerana selesa memandangkan dia pendengar yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 3:04 PM