Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: PETRONAS Gas Berhad (PGB) memperuntukkan sejumlah RM1.75 bilion untuk perbelanjaan modal tahunannya tahun ini serta pembangunan dua projeknya di Pengerang, Johor iaitu Terminal Gas Asli Cecair (LNG) dan Unit Pemisahan Udara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Yusa’ Hassan berkata, jumlah terbabit adalah 35 peratus daripada RM5 bilion perbelanjaan modal yang diperuntukkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami jangka dua projek ini akan melonjakkan lagi pertumbuhan PGB pada masa akan datang di mana Terminal Gas Asli Cecair akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2018 manakala Unit Pemisahan Udara menjelang penghujung 2018,” katanya pada pengumuman keputusan kewangan 2014 PGB di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu boleh disiapkan dalam tempoh ditetapkan, namun ia adalah bergantung kepada kemajuan kilang penapis dan komponen lain di Kompleks Bersepadu Pengerang itu sendiri.

“Kami akan terus mencari peluang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan komplek itu yang bersesuaian dengan keupayaan kami,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PGB terus mencatatkan prestasi kukuh apabila menjana peningkatan hasil sebanyak 13 peratus kepada RM4.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu berbanding RM3.9 bilion pada tempoh masa sama tahun sebelumnya meskipun dalam keadaan penurunan harga minyak dan susut nilai mata wang ringgit.

Yusa’ berkata, syarikat turut mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.4 bilion manakala modal pasaran ditutup pada RM44 bilion menjelang hujung tahun lalu, sekali gus menjadikan PGB sebagai salah satu entiti terbesar di Bursa Malaysia.

Menurutnya, peningkatan itu banyak disumbang melalui operasi penuh PGB daripada Terminal Gas Asli Cecair di Sungai Udang, Melaka dan kilang kuasa Kimanis di Kimanis, Sabah yang beroperasi secara penuh sejak November tahun lalu serta lebih banyak terma positif di bawah Perjanjian Pengangkutan Gas (GTA)

“Tahun ini kami mencatatkan peningkatan prestasi dengan penurunan harga minyak hanya memberi impak minimum kepada perniagaan syarikat di mana kami lebih bertumpu kepada aspek pemprosesan dan pengangkutan gas serta minyak kerana kami adalah syarikat penyedia fasiliti,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai jangkaan prestasi bagi tahun ini, beliau enggan mengulas, namun menjelaskan pihaknya optimis mampu mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada masa depan berikutan asas hasil yang stabil daripada GTA dan Perjanjian Pemprosesan Gas (GPA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:53 AM