Hamim (kiri) meninjau tapak paip gas PGB di Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram. FOTO Zain Ahmed
Hamim (kiri) meninjau tapak paip gas PGB di Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengarahkan kilang menyadur bahan logam berhampiran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB), di Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini menghentikan operasi selama 60 hari berikutan kebocoran asid sulfurik.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berkata, notis berkuat kuasa pada Ahad lalu diberi susulan aduan dibuat PGB sehari sebelumnya yang mengesan cecair berasid disyaki mampu menyebabkan hakisan di paip PGB yang menyalurkan gas bagi kegunaan ke Pasir Gudang dan Singapura.

Katanya, PGB mempunyai paip gas asli sepanjang 2,500 kilometer yang bersambung iaitu bermula dari Kerteh di Terengganu ke Segamat - Pasir Gudang, Johor dan Singapura, selain turut disalurkan ke kawasan pantai barat sehingga ke Perlis.

"Kilang yang sama pernah dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM60,000 tahun lalu kerana melepaskan sisa buangan cecair susulan penemuan cecair berasid berwarna yang menyebabkan kebocoran paip milik PGB pada 4 Oktober tahun lalu.

"Notis pemberhentian operasi dikeluarkan mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, bersama Seksyen 37 akta yang sama," katanya pada sidang media selepas meninjau tapak paip gas dan kilang terbabit, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 6:37 PM