Shamsul (tengah) bersama Yusa’ dan Aida pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan  PGB,    semalam.
Shamsul (tengah) bersama Yusa’ dan Aida pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan PGB, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Petronas Gas Berhad (PGB) optimis Projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) yang dibangunkan di bawah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor akan mula beroperasi pada suku pertama 2018.

Pengerusi PGB, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, ketika ini terminal berkenaan siap 24 peratus dengan tangki pertama dijangka dapat beroperasi pada akhir tahun depan dan satu lagi projek utama PGB iaitu Saluran Paip Gas Pengerang dijangka siap tahun ini, sekali gus membolehkan gas dibekalkan daripada rangkaian sedia ada Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) ke Pengerang.

Menurutnya, syarikat berteraskan gas dan utiliti itu juga akan memuktamadkan Keputusan Pelaburan Akhir pada suku kedua 2016 bagi projek Unit Pengasingan Udara (ASU) di Pengerang yang ditandatangani sejak 2014.

“Syarikat memperoleh kemudahan pinjaman AS$500 juta dari Mizuho Bank Ltd dengan sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk membiayai projek PGB manakala selebihnya untuk aktiviti korporat dan perbelanjaan modal (capex).

“Syarikat memperuntukkan capex RM4.5 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan RM300 juta peruntukan setiap tahun bagi pengurusan dan pengendalian operasi lebih cekap,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) PGB, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Yusa’ Hassan dan Ketua Pegawai Kewangan PGB, Aida Aziza Mohd Jamaludin.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, PGB mencatatkan peningkatan perolehan 1.5 peratus kepada RM4.5 bilion berbanding RM4.4 pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan melonjak 7.8 peratus menjadi RM2 bilion kebanyakan daripada insentif cukai projek loji pemulihan dan penambahbaikan (PRR) yang siap pada awal 2015.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permintaan gas di Malaysia, Shamsul Azhar berkata, segmen gas negara sentiasa menunjukkan trend memberangsangkan dan meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, PGB juga akan melabur dalam projek terminal regasifikasi di Pengerang yang secara dasarnya berupaya menampung tambahan gas yang diperlukan untuk kegunaan pada masa depan seiring dengan keperluan dan permintaan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 7:04 AM