SEORANG lelaki di Manila membaca sebuah akhbar yang memaparkan kematian Mary Jane di muka hadapannya.
SEORANG lelaki di Manila membaca sebuah akhbar yang memaparkan kematian Mary Jane di muka hadapannya.

Manila: Keluarga pesalah dadah warga Filipina, Mary Jane Veloso mengalirkan air mata tanda kegembiraan dan hampir tidak percaya hukuman mati terhadap wanita itu ditangguhkan pada saat-saat akhir semalam.

Keluarga Mary, 30, berkata, doa mereka dimakbulkan selepas mengetahui ibu tunggal itu tidak tersenarai dalam kumpulan pesalah dadah yang ditembak mati di Indonesia semalam.

“Ini umpama satu keajaiban,” kata ibu Mary, Celia ketika dihubungi sebuah stesen radio dari Jakarta.

Berpuluh penyokong Mary yang berkumpul di hadapan kedutaan Indonesia di Manila dilihat menangis dan berpelukan selepas mengetahui berita berkenaan.

Celia berkata, dua anak lelaki Mary yang berusia enam dan 12 tahun yang berada di Jakarta turut gembira selepas mengetahui ibu mereka masih hidup.

Seorang paderi, Harold Toledano yang membantu keluarga Mary di Manila berkata, dia tidak pernah hilang harapan hukuman terhadap wanita itu akan dibatalkan.

Beberapa ahli keluarga Mary di kampung halamannya di Cabanatuan turut gembira dengan berita berkenaan.

Penangguhan itu juga mengejutkan media di Filipina apabila beberapa akhbar sudah mencetak berita muka hadapan bagi mengucap selamat tinggal kepada Mary.

Mary sebelum ini mendakwa dia menjadi mangsa penipuan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila ditangkap membawa 2.6 kilogram heroin dari Malaysia ke Indonesia, lima tahun lalu.

Dia mendapat penangguhan hukuman selama 11 jam selepas seorang wanita yang disyaki memperdayanya membawa dadah menyerah diri kepada polis Filipina kelmarin.

Bagaimanapun, hukuman mati terhadap Mary masih kekal dan peguam negara Indonesia memberi masa kepada kerajaan Filipina untuk membuktikan bahawa wanita itu menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 10:30 AM