AFP

Manila: Filipina akan menggunakan semua saluran undang-undang untuk menyelamat seorang warganya yang bakal dihukum mati selepas didapati bersalah menyeludup dadah.

Jurucakap Kementerian Luar Charles Jose berkata, pihaknya menimbang mengemukakan rayuan kedua kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menimbang hukuman mati ke atas Mary Jane Veloso selepas Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan supaya kesnya dikaji semula, kelmarin.

“Kami akan mengguna semua saluran yang ada untuk menyelamatkan Mary Jane Veloso,” kata Jose, semalam.

Naib Presiden Jejomar Binay yang juga bertanggungjawab terhadap nasib pekerja Filipina di luar negara mengemuakan rayuan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) supaya meringankan hukuman terhadap Mary.

Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan Mary kelmarin tanpa memberi sebarang butir. Ia diumumkan menerusi laman webnya.

Dalam rayuannya, Mary berkata, dia tidak mempunyai jurubahasa yang mahir ketika dibicarakan.

Dia ditangkap di Lapangan Terbang Yogyakarta bersama-sama 2.6 kilogram heroin selepas tiba dari Malaysia pada April 2010.

Selain Mary, pesalah dari Australia, Brazil, Perancis, Ghana dan Nigeria dijadual berdepan dengan skuad penembak pada tarikh yang belum ditetapkan selepas rayuan memohon pengampunan presiden ditolak.

Jakarta sebelum ini berkata, semua 10 pesalah itu, sembilan rakyat asing dan seorang Indonesia menjalani hukuman mati itu serentak.

Bagaimanapun, ia akan menanti sehingga semua rayuan mereka selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:11 AM