Kuala Lumpur: Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei didapati bersalah terhadap penyalahgunaan bahan terlarang dan dikenakan penggantungan lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan penggantungan Chong Wei tamat secara rasminya Khamis ini.

Keputusan itu turut menyaksikan pemenang pingat perak Olimpik Beijing dan London itu memperkuatkan barisan negara dalam saingan Piala Sudirman di Dongguan, China dari 10-17 Mei ini dan Sukan SEA Singapura, 5 hingga 16 Jun ini selepas kali terakhir menyertainya pada 2005.

Khairy menekankan bahan terlarang dexamethasone terdapat dalam kapsul ubat Cordyceps yang tercemar dan Cordyceps itu ubat herba semula jadi diambil Chong Wei sejak berusia 13 tahun.

“Kes ini boleh disifatkan jarang berlaku. Saya tidak katakan ia kecuaian kerana kita percaya kapsul itu sudah tercemar.”

“Ini peringatan bukan saja kepada Chong Wei tapi atlet lain juga. Kita nasihatkan atlet supaya tidak mengambil ubatan atau makanan tambahan dari luar.

“Apa yang terjadi akan dijadikan iktibar dan saya ingin ingatkan setiap atlet supaya merujuk kepada ISN (Institut Sukan Negara) segala produk atau makanan tambahan diambil,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap kes itu.

Katanya, biarpun penggantungan Chong Wei tamat Khamis ini, BAM mempunyai masa 21 hari sama ada ingin membuat rayuan bagi membuktikan bekas juara Seluruh England itu tidak bersalah di bawah fasal 10.5 iaitu sesuatu kesalahan dibuat tanpa disedari dan bukan daripada kecuaian atlet.

“Kini Chong Wei didapati bersalah atas fasal 10.4 iaitu bersalah atas kecuaiannya mengambil bahan terlarang. BWF sudah mengeluarkan kenyataan Chong Wei mengambil bahan itu tanpa sedar dan tidak mempunyai niat untuk menipu.

“Perkara ini akan dibincangkan semula anggota exco BAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:50 AM