Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tiga lelaki berusia 20-an ditahan polis selepas baru beberapa minit menyamun seorang lelaki berusia 46 tahun dalam kejadian di Jalan Metro Perdana Timur 2, Kepong, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, tiga suspek itu ditahan kira-kira 10 pagi oleh anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek menemui dua parang, satu kamera litar tertutup (CCTV) dan satu kad ATM," katanya dalam satu kenyataan media, pagi tadi.

Munusamy berkata, mangsa segera menemui anggota polis yang melakukan pemeriksaan terhadap suspek dan memberitahu mereka menyamunnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 1:56 PM