Norazli (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Norazli (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak atau Geng Ustaz membuat laporan polis berhubung tindakan Persatuan Hokkien Malaysia yang mahu mengumpulkan sejuta tandatangan untuk membantah pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.

Presidennya Norazli Musa berkata, tindakan itu dilakukan kerana persatuan itu disifatkan melampau serta melanggar kebebasan mengamalkan aktiviti beragama seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan mereka ini juga mengundang suasana tegang antara agama kerana menghasut tanpa melalui proses sihat yang boleh mengakibatkan ketenteraman negara terganggu.

"Oleh itu kami minta pihak polis menyiasat seterusnya mengambil tindakan terhadap persatuan ini yang disifatkan mahu menghasut masyarakat bukan Islam untuk menentang dan menghalang orang Islam daripada beramal dengan agamanya," katanya ditemui di IPD Shah Alam hari ini.

Norazli berkata, tindakan persatuan itu disedari selepas satu portal akhbar dalam talian menyiarkan artikel persatuan itu yang menyasarkan sejuta tandatangan untuk membantah pindaan RUU itu dengan tarikh akhir mengumpul tandatangan itu ialah 20 September ini.

Pindaan RUU berkenaan akan meningkatkan lagi kuasa Mahkamah Syariah dan ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Pembentangan usul berkenaan dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat 26 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:04 PM