BERJALAN di Tembok Besar China nyata satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
BERJALAN di Tembok Besar China nyata satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
PANORAMA indah stadium pada waktu malam yang cukup mengujakan.
PANORAMA indah stadium pada waktu malam yang cukup mengujakan.
GAMBAR kenangan penulis bersama keluarga di Forbidden City.
GAMBAR kenangan penulis bersama keluarga di Forbidden City.
PERTUNJUKAN akrobatik yang sememangnya cukup mengujakan.
PERTUNJUKAN akrobatik yang sememangnya cukup mengujakan.
Oleh Siti Aminah Mohamed

Peluang melihat dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai budaya, agama, bahasa, adat, makanan, cuaca dan lokasi menarik di sesebuah negara yang dikunjungi ternyata sesuatu yang cukup bermakna.

Ia lebih bermakna jika setiap pengalaman yang dirasai, dikongsi bersama keluarga tercinta. Secara tidak langsung, segala pengalaman, pengetahuan, penghayatan dan pemerhatian di setiap lokasi dikunjungi dapat dikongsi bersama.

Itulah yang dirasai penulis dan seisi keluarga saat melakukan pengembaraan keluarga di bumi China, baru-baru ini.

Mempunyai penduduk yang paling ramai di dunia, pengembaraan keluarga yang dirancang dipermudahkan dan memberi seribu makna yang sangat berharga selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Hari pertama di bumi negara tembok besar itu memberikan satu kelainan kepada kami. Mana tidaknya, dapat melihat sendiri bangunan yang dibina besar, tetapi tidak tinggi berbanding di negara sendiri.

Suasana dan cuaca berbeza dengan tanah air serta gaya hidup masyarakatnya yang unik memberi pengalaman yang bermakna buat kami sekeluarga.

Selain itu, bahasa yang dipertuturkan hanya bahasa tempatan tanpa menggunakan bahasa lain membuatkan kami sedikit kekok.

Namun, ia tidak menjadi penghalang bagi kami berkomunikasi kerana ada juga segelintir memahami bahasa Inggeris.

Kami tetap menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa isyarat walaupun kadangkala seperti ‘ayam dan itik’ sepanjang di sana.

Walaupun begitu, warga China sangat peramah dan mereka memberi layanan yang baik walaupun kurang berkomunikasi.

Hari pertama

Kami berkunjung ke Acrobatic Show bersama ahli pengembara lain. Menariknya, di Acrobatic Show ini, kami disajikan dengan pertunjukan aksi menarik, unik, dan mempesonakan.

Setiap aksi hebat malah kami tidak pernah menyaksikan pertunjukan akrobatik sehebat itu sebelum ini.

Selesai melihat pertunjukan akrobatik, Forbidden City, The Great Wall (Tembok Besar China), Stadium Layang-Layang, Stadium Olimpik, Silk Street Market, Jade Palace dan banyak menjadi lokasi kembara.

Berada di Jade Palace, kami melihat sendiri bagaimana menghasilkan jed yang cantik.

Selesai memahat kenangan di sana, kami diberi peluang melawat lokasi sangat diimpikan pelancong China iaitu Tembok Besar China.

Kami menyahut cabaran menaiki tangga tinggi dan tembok yang sangat panjang malah pembinaan tembok besar itu mempunyai sejarah tersendiri yang sangat panjang.

Jurupandu, Hassan yang fasih berbahasa Melayu banyak membantu memberi penerangan mengenai sejarah pembinaan tembok besar itu yang mengagumkan masyarakat antarabangsa sehingga diiktiraf antara keajaiban dunia.

“Tembok Besar China dibina pada abad ke-9 Sebelum Masihi bagi menghalang pencerobohan di bahagian utara dan pemerintah Dinasti Ming memerintahkan membina tembok yang me­nyambungkan kubu pertahanan di kawasan sempadan,” kata Hassan.

Selesai meneroka di tembok besar yang cukup panjang, lokasi seterusnya ialah Pusat Perubatan Herba iaitu tempat tarikan pelancong yang mempamerkan pelbagai jenis ubat-ubatan tradisional.

Lebih menarik, di Pusat Perubatan Herba ini mereka menawarkan perkhidmatan urutan kaki yang cukup baik untuk ahli kembara yang banyak berjalan.

Hari kedua

Kami bangun awal kerana hari ini destinasinya ialah mengunjungi kedai teh tidak jauh dari kota Beijing.

Di sana kami diperlihatkan cara pembuatan teh selain menikmati pelbagai jenis teh yang enak.

Selepas itu, kami mengunjungi pasar raya untuk membeli sedikit pakaian, kasut dan cenderahati sebagai kenangan.

Sepanjang kembara ini, mengerjakan ibadat solat bukanlah rumit kerana setiap tempat yang kami kunjungi menyediakan surau.

Menariknya, kami berpeluang menunaikan solat di salah satu masjid terkenal iaitu Masjid Nan Dou Ya.

Suasana di setiap tempat yang dikunjungi sangat indah yang dikelilingi bunga yang cantik sebagai santapan mata dan sejarah tersendiri dari segi pembinaannya.

Kami bersyukur apabila berpeluang mendengar taklimat sejarah yang berguna daripada Hassan walaupun ringkas, tapi padat serta bermanfaat.

Hari ketiga

Hari terakhir, kami memanfaat tempoh di China dengan aktiviti kesukaan pelancong Malaysia iaitu membeli-belah.

Pelbagai barangan dibeli di China untuk dijadikan tanda kenangan atau ole-ole apatah lagi harganya murah.

Pengalaman mengembara di negara asing bersama keluarga memberi seribu kenangan dan manfaat yang tidak boleh dilupakan.

Pengalaman mengembara bersama keluarga juga memberi nikmat yang tidak ternilai harganya kerana ia dapat mengeratkan ukhuwah dan ‘tausiq al mahabbah’(jalinan kasih sayang) antara kami.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 2:01 PM