CHINA Town.
CHINA Town.
Hanim Mohd

“NI hao! Ni zhidao ‘supermarket’ zai nali?” Begitulah soalan Iman Suzan Lee kepada tauke kedai serbaneka berdekatan dengan Airbnb kami di Shanghai. Penulis dan Zalina Mohd Som menahan ketawa melihat tauke berkenaan berkerut mukanya dan tersentak daripada menonton televisyen kecilnya dengan soalan Suzan itu. Kami berlalu pergi sambil ketawa berdekah-dekah! “Kalau sekadar nak kata ‘supermarket’ dalam telo Mandarin, Hanim dengan aku pun boleh cakap!” kata Zalina sambil mengelap air mata.

Kami bertiga adalah rakan sekerja dan memilih untuk bercuti ke Shanghai memandangkan Suzan boleh bertutur bahasa Mandarin walaupun tidak boleh menulis dalam bahasa itu.

Kami ke Suzhao dahulu sebelum berangkat ke Shanghai. Jarak antara Suzhao dan Shanghai lebih kurang 107 kilometer. Dari Suzhao kami menaiki kereta api laju ke Shanghai. Harga tiket sehala adalah 31 yuan (RM20). Perjalanan hanya memakan masa setengah jam berbanding dengan kereta yang memakan masa hampir dua jam. Ketibaan kami di Shanghai disambut dengan suhu -1 darjah Celsius dengan hujan salji, walaupun hanya renyai-renyai penulis sangat teruja dan cuba menangkap salji dengan lidah! Geli hati Suzan melihat gelagat penulis.

AURA Perancis di kawasan bekas penempatan Perancis atau French Concession.
AURA Perancis di kawasan bekas penempatan Perancis atau French Concession.

Kami sengaja memilih untuk tinggal di AirBnb untuk menimba pengalaman hidup sebagai rakyat tempatan. Kami dapatkan Pas Perjalanan Tren Metro apabila tiba di stesen kereta api Shanghai dan mengkaji peta perjalanan untuk ke penginapan Airbnb kami yang terletak di Hongkou, tidak jauh dari The Bund.

The Bund adalah lokasi tepian air yang terkenal di Shanghai dan terletak di tebing barat Sungai Huangpu. Pada tebing di daerah Pudong, terletak bangunan pencakar langit moden yang menjadi mercu tanda Shanghai termasuk Menara Oriental Pearl, Shanghai World Financial Center, Menara Jin Mao dan Menara Shanghai.

Semua bangunan yang disenaraikan itu menjadi tarikan pelancong dan rakyat tempatan untuk dijadikan latar belakang apabila mengambil gambar kenangan. Di seberangnya pula adalah bangunan era kolonial gaya seni bina Barat yang tidak kurang menariknya terutama pada waktu malam.

MENIKMATI sajian Xinjiang yang enak.
MENIKMATI sajian Xinjiang yang enak.

Hari pertama

Kami menempah untuk menyertai pakej lawatan The Bund dan kawasan sekitarnya. Kami mendengar penerangan mengenai Shanghai daripada pemandu pelancong kami Miki, gadis manis anak jati Shanghai. Beliau menunjukkan kepada kami bangunan kolonial tinggalan Inggeris yang kini menjadi ibu pejabat jenama fesyen antarabangsa, antaranya jam tangan mewah Patek Philippe.

Miki menerangkan bagaimana kuasa besar dunia seperti Inggeris, Perancis dan Amerika berminat untuk menembusi ekonomi Shanghai pada abad ke-18, iaitu di bawah pemerintahan Dinasti Qing. China mengamalkan dasar pintu tertutup ketika itu. Selepas tumpas dalam Perang Candu, barulah China dibuka kepada perdagangan asing berlandaskan Perjanjian Nanking.

Inggeris, Perancis dan Amerika antaranya yang membuat penempatan di Shanghai dan membina bangunan mengikut seni bina kolonial. Semua bangunan indah ini dipelihara dengan baik dan menjadi tarikan pelancong.

Lawatan kami berakhir di The Bund. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan untuk mencari stesen kereta api Metro untuk pulang ke ‘rumah’. Secara kebetulan, kami ternampak tanda menunjukkan arah ke masjid. Kedudukan masjid ini sebaris dengan kedai-kedai di Jalan Fuyou yang agak sibuk.

Masjid ini kelihatan kecil dari luar tetap agak luas di dalamnya. Kami sempat menunaikan solat Asar di situ. Kalau ada masjid, mesti ada tempat makan halal berdekatan, kata Zalina. Bilal masjid menunjukkan kami arah ke restoran halal.

Dalam perjalanan, kami melalui bazar Yuyuan yang sibuk dan dikelilingi bangunan dengan seni bina China tradisional. Bermacam-macam barangan tempatan boleh didapati di sini, daripada makanan, alat solek hinggalah cenderahati.

SUASANA di The Bund pada waktu siang.
SUASANA di The Bund pada waktu siang.

Walaupun sudah lapar, kami tidak mahu melepaskan peluang untuk mengambil gambar. Ini adalah ‘China Town’ paling cantik yang pernah penulis kunjungi. Taman Yuyuan juga terletak berdekatan. Kami melalui jalan dan lorong-lorong dengan bantuan ‘Google map’ dan akhirnya sampai ke kedai makan dengan papan tanda ‘Halal’ dalam tulisan jawi. Alhamdulillah.

Suhu pada ketika itu kurang daripada tiga darjah Celsius. Sejuknya mencengkam ke tulang. Jadi untuk memanaskan badan, kami memesan semangkuk la mien iaitu mi tarik sup berperisa daging dan sepinggan besar ladu daging kambing untuk dikongsi. Pengunjung kedai itu terhenti makan dan memerhatikan kami dengan wajah hairan. Agaknya mereka hairan melihat kami yang berlainan warna kulit tetapi boleh duduk semeja sambil bergelak ketawa. Tapi mungkin juga itu hanya perasaan kami.

Ketika di kedai itu, kami memang mengharapkan ‘kepakaran’ Suzan untuk berkomunikasi. Senyuman kami meleret apabila dia berjaya memesan makanan dalam bahasa Mandarin. Pemilik kedai makan menghampiri meja kami, bertanya asal usul kami dan begitu gembira dapat bertemu dengan Muslimah dari negara lain.

Isteri pemilik kedai makan itu sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa Suzan adalah seorang mualaf dan cuba meyakinkan Suzan untuk menetap di Shanghai.

Kami dapati orang-orang Shanghai menghirup sup dengan agak kuat. Penulis pun menghirup sup la mien sekuat mungkin tetapi tersilap hitung kerana terlupa sudah mencampurkan agak banyak sambal ke dalam sup. Apa lagi, tersedak dan terbatuk-batuk, mujur tidak memudaratkan.

Hari kedua

Kami bertolak dari rumah selepas sarapan dan jadual perjalanan hari ini ialah melawat kawasan penempatan Perancis. Dari stesen Xintiandi kami berjalan menuju ke Jalan Huaihai. Di sini kami merasakan seolah-olah bukan berada di Shanghai.

Kafe gaya Eropah banyak terdapat di sini dan kedai dengan tingkap kaca yang tinggi sangat menarik untuk dikunjungi walaupun sekadar untuk mencuci mata. Barisan pokok di sepanjang jalan memberi kelainan daripada bandar sibuk Shanghai.

Di sini juga terletak kediaman Dr Sun Yat Sen (pemimpin politik dan revolusi China yang digelar bapa China moden yang berjaya menggulingkan Dinasti Qing iaitu dinasti terakhir Imperial China). Berdekatan juga adalah kediaman Zhou Enlai (Perdana menteri pertama Republik Rakyat China).

Seperti merentasi masa, keluar saja dari kawasan Perancis ini, bermulalah hiruk-pikuk bandar. Kami temui restoran Tarhar Muslim Restaurant (SML Center) di Jalan Xujiahui. Restoran ini yang menyajikan hidangan Xinjiang antaranya kebab daging kambing sayur segar yang dimasak menggunakan pelbagai rempah dan mi leper seakan-akan kuetiau bersama sedikit kuah, daging dan lada benggala yang sangat memuaskan selera. Kami bertiga bersetuju itulah sajian paling enak kami nikmati di Shanghai.

BANGUNAN kolonial yang tidak kurang menariknya.
BANGUNAN kolonial yang tidak kurang menariknya.

Hari terakhir di Shanghai

Penulis terpaksa membeli beg pakaian baru kerana beg yang dibawa rosak sewaktu dalam perjalanan. Tempat yang dituju ialah Nanjing Street Pedestrian Mall.

Ia pusat beli-belah utama di Shanghai bermula dari The Bund dan sepanjang Jalan Nanjing sejauh 5.5 kilometer. Terdapat gedung besar yang menawarkan pelbagai jenama mewah fesyen, jam tangan antara lain dan juga kedai yang menjual barang-barang tempatan seperti barangan sutera, jed, sulaman dan macam-macam lagi. Terdapat lebih 600 perniagaan di Jalan Nanjing yang merupakan ‘syurga beli-belah’.

Kami tidak ketinggalan membuat lawatan Shanghai People’s Square. Dalam perjalanan, sempat membeli snek buah-buahan disira gula yang dicucuk pada lidi. Oleh kerana kami tidak begitu menggemari makanan manis, agak sukar juga untuk kami menghabiskannya.

Penulis membeli beg pakaian selepas lawatan ke Shanghai People’s Square dan rancangan asal adalah menghantar beg pulang ke ‘rumah’ dahulu dan kembali ke Jalan Nanjing. Kami ada janji temu untuk makan malam bersama Michelle Wong, rakan yang kini bekerja dan menetap di Shanghai.

Oleh kerana tidak mahu membuang masa pergi dan balik, kami memutuskan untuk menghabiskan masa di sini saja. Suzan juga turut terjebak membeli sebuah beg pakaian baru. Kami berhenti untuk minum kopi sementara menunggu Michelle.

Michelle tiba tepat pada waktu yang dijanjikan dan membawa kami ke sebuah restoran halal berstatus lima bintang. Restoran ini juga menyajikan sajian Xinjiang. Setiap hidangan dipesan kelihatan lebih menarik daripada Restoran Tarhar Muslim tempoh hari, namun keenakannya hampir serupa, yang berbeza cuma harganya.

Michelle mencadangkan kami melihat The Bund pada waktu malam walaupun pada mulanya penulis agak keberatan. Kami menaiki shuttle ke The Bund. Umpama gambar poskad menjadi nyata di depan mata, begitulah indahnya The Bund pada waktu malam. Bangunan-bangunan di kedua-dua belah tebing sungai dibaluti beraneka lampu adalah sesuatu yang tidak wajar dilepaskan. Berbaloi rasanya walaupun penulis dan Suzan terpaksa mengheret beg besar di sepanjang The Bund.

DI depan kedai makan menjual la mien (mi tarik).
DI depan kedai makan menjual la mien (mi tarik).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:15 AM