Nurul Hizam (dua dari kiri) menunjukkan gamat yang dirampas dan nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Azlan Hafeedz
Nurul Hizam (dua dari kiri) menunjukkan gamat yang dirampas dan nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Azlan Hafeedz
Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Permintaan tinggi terhadap gamat yang harganya mencecah RM25 sekilogram di Vietnam, menyebabkan sekumpulan nelayan negara itu nekad menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hidupan laut itu.

Kegiatan tujuh nelayan itu terbongkar apabila mereka ditahan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali, pada 11.50 pagi semalam, kira-kira 41.3 batu nautika dari Barat Laut Tok Bali, di sini.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 10 Tok Bali Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sebanyak 500 kilogram gamat dianggarkan bernilai RM13,000 turut dirampas.

Katanya, ketika serbuan, tekong dan awak-awak berusia 18 hingga 48 tahun sibuk menangkap hidupan laut itu menggunakan tangguk besi.

"Penggunaan alatan itu dilarang kerana boleh merosakkan semua hidupan laut disebabkan ia memiliki banyak mata cangkuk.

"Kumpulan nelayan itu sanggup ambil risiko kerana difahamkan gamat mempunyai nilai sekali ganda lebih tinggi di Vietnam berbanding negara kita yang hanya RM10 sekilogram," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 12:25 PM