Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Tidak cukup dengan mengaut hasil ikan dan sotong, nelayan Vietnam semakin melampau apabila merodok dasar laut negara untuk mengaut gamat bagi mendapatkan pulangan lumayan.

Tindakan itu dikesan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan asing terbabit pada 10.15 pagi semalam.

Bot nelayan tanpa nombor pendaftaran itu ditahan pada jarak 54.2 batu nautika daripada muara Tok Bali ketika APMM melaksanakan operasi Op Kuda Laut.

Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, nelayan asing itu menggunakan tangguk besi seperti jentera menggembur tanah untuk merodok permukaan laut negara bagi mengeluarkan gamat.

Katanya, penggunaan peralatan besi itu menyebabkan kemusnahan marin termasuk batu karang yang menjadi komponen penting kepada pembiakan hidupan laut.

"Dalam operasi semalam, kita temui 250 kilogram gamat basah dinaikkan nelayan asing dengan kaedah rodok itu dan sekiranya dikeringkan harga pasaran sekilogram gamat boleh mencecah RM300 hingga RM1,000 bergantung pada saiz dan lokasi pasaran.

"Keuntungan tinggi ini menyebabkan nelayan asing mengejar gamat, malah mereka dikesan mengambil gamat bermutu tinggi seperti spesies Holothuria Scabra yang dipercayai lebih berkhasiat dan tinggi nilai jualan," katanya pada sidang media di Jeti Maritim Jalan Pak Mayong, Tok Bali, di sini, hari ini.

Nur Syam berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima nelayan Vietnam tanpa pengenalan diri berusia antara 40 hingga 49 tahun termasuk tekong bot.

Beliau berkata, pihaknya merampas gamat, diesel dan peralatan menangguk bernilai RM300,000 yang menjadi tangkapan ke-49 menerusi Op Kuda Laut.

Menurutnya, jumlah tahanan sehingga kini seramai 544 orang dengan majoriti adalah nelayan Vietnam.

"Kami mengesan beberapa faktor menyebabkan bot gamat nelayan asing semakin aktif di perairan Kelantan antaranya kes tumpahan toksik di Wilayah Ha Tinh pada 2016 menjejaskan 190 kilometer penduduk pesisir Vietnam dan aktiviti tangkapan gamat di sana.

"Berikutan itu, mereka mencari alternatif dengan menangkap gamat di perairan negara kita bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Satu lagi faktor, mereka (nelayan Vietnam) mengaku dahulu mampu kumpul gamat sehingga tiga tan sehari tapi sekarang hanya 300 kilogram sahaja kerana sudah diambil dengan rakus sedangkan gamat memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk capai tumbesaran saiz 100 gram.

"Berikutan itu, gamat kini dianggap spesies terancam dan kita akan berjuang habisan bagi mengelakkan kecurian hasil laut negara dan menjaga ekosistem marin," katanya.

Beliau berkata, nelayan bot gamat menggunakan bot buruk dan uzur serta berkelajuan rendah antara tujuh hingga lapan knot sahaja, namun menggunakan taktik memasang tali sauh sebagai 'ekor' bot bagi mengelakkan ditahan.

ANGGOTA APMM memeriksa gamat setelah menahan sebuah bot nelayan Vietnam tanpa nombor perdaftaran. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA APMM memeriksa gamat setelah menahan sebuah bot nelayan Vietnam tanpa nombor perdaftaran. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, contohnya dalam operasi kali ini, bot nelayan asing membuat gerakan zigzag di laut bagi membolehkan 'ekor' tali sauh itu terkena bot APMM dan melekat pada kipas bot.

"Namun hasil kecekapan APMM berjaya membaca gerakan bot mereka sebelum kami menahan bot dan awak-awak serta tekong hanya dalam tempoh 10 minit dan bot ditunda ke jeti Tok Bali.

"Selain modus operandi merosakkan kipas bot penguat kuasa dengan tali sauh, nelayan asing pencuri gamat ini dipercayai menjalani aktiviti mengaut gamat secara berkumpulan dengan bot buruk digunakan untuk merodok dan mengaut gamat, manakala satu lagi bot lebih besar dan canggih menunggu di satu lokasi dan membawa pulang hasil tangkapan ke negara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 3:29 PM