Paulic
Paulic
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Perubahan drastik dilakukan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) yang menerima kunjungan LionsXII pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Fandi Othman bakal membuat penampilan pertama selepas menyertai Johor DT II pada jendela perpindahan yang dibuka bulan ini dan kehadirannya pasti memberi impak positif kepada barisan serangan skuad kendalian Goran Paulic.

Malah, Paulic mengesahkan Fandi sudah menjalani latihan bersama skuad itu, namun pengendali dari Croatia itu belum memutuskan sama ada pemain berkenaan akan diturunkan menentang skuad kendalian Fandi Ahmad.

“Fandi sudah berlatih dengan kami, tapi saya belum memutuskan lagi sama ada dia akan turun beraksi atau sebaliknya kerana masih perlu menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan.

“Tidak timbul masalah tahap kecergasan Fandi selepas dia berlatih bersama Johor DT sebelum menyertai Johor DT II dan kehadirannya mampu menguatkan kembali barisan serangan selain pemain itu turut mampu beraksi di posisi bek kiri,” katanya.

Apapun Paulic mengesahkan benteng pertahanan terpaksa dirombak selepas ketiadaan Baihakki Khaizan yang digantung satu perlawanan akibat dilayangkan kad merah pada aksi suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, 8 April lalu.

Dia juga sedang memikirkan strategi ampuh untuk menguatkan benteng pertahanan berikutan Kamarul Afiq Kamaruddin masih belum pulih sepenuhnya dan perlu berehat bagi mengelak kecederaan berulang.

“Mungkin Nicolas Delmonte yang sering beraksi di posisi tengah akan bergandingan dengan Mohd Izuan Jarudin untuk menguatkan benteng pertahanan.

“Saya juga harus memantapkan posisi tengah bagi mengekang penguasaan pemain LionsXII.

“Apapun kami akan cuba sedaya upaya untuk mencari gol awal dan barisan serangan yang diterajui Shafiq Saharuddin bakal menjadi tonggak utama untuk menggempur benteng lawan selepas tidak beraksi pada suku akhir pertama akibat kecederaan,” kata Paulic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:59 AM