Lokasi tiga penjenayah melarikan diri daripada ditahan polis. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Lokasi tiga penjenayah melarikan diri daripada ditahan polis. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Tiga lelaki berusia 20-an, ahli sindiket samun kereta mewah diburu polis selepas melarikan diri dalam kejadian tembak-menembak di sebuah stesen minyak di Kuala Kedah, 11.54 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC)Bukit Aman mengekori suspek sehingga ke stesen minyak itu dan cuba menahan mereka namun penjenayah terbabit mengundur kereta Honda City dinaiki menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan.

Menurutnya, suspek melarikan diri sebelum bertindak mencuri sebuah kereta Proton Persona di sebuah stesen minyak di Pendang.

"Suspek meninggalkan kereta Honda City di stesen minyak itu dan beredar sebelum mencuri sebuah lagi kereta di kawasan Juru, Pulau Pinang beberapa jam selepas itu.

" Kita sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 4:05 PM