AP

Jakarta: Enam suspek militan ditembak mati manakala seorang lagi ditangkap dalam satu kejadian tembak-menembak di sebuah kampung di daerah Tuban, Jawa Timur, kelmarin, kata polis.

Kumpulan yang menaiki sebuah kereta itu dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan terhadap sebuah pos kawalan trafik tetapi tiada anggota polis yang cedera.

Polis mengejar kenderaan suspek hingga ke sebuah kampung di Siwalan, Tuban sebelum mereka melarikan diri ke satu kawasan ladang.

Jurucakap polis, Rikwanto berkata, semua militan berkenaan dikepung di satu kawasan selama beberapa jam dan enggan menyerah diri.

“Polis akhirnya terpaksa menembak mati enam suspek selepas mereka enggan menyerah diri dan menyerang anggota polis.

“Seorang suspek pula berjaya ditangkap,” katanya.

Sehari sebelum kejadian, polis antipengganas Indonesia menahan tiga suspek militan yang disyaki merancang menyerang balai polis di Jawa Timur.

Antara suspek ditahan termasuklah Zainal Anshori, pemimpin kanan Jemaah Anshorut Daulah, kumpulan ekstremis yang mempunyai hubungan dengan militan Daish.

Rikwanto memberitahu, Zainal mengarahkan tujuh militan berkenaan menyerang pos kawalan polis trafik berkenaan.

“Mereka bertindak selepas mendapat arahan Zainal sebagai membalas dendam terhadap penahanannya sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, polis juga merampas senjata api, sejumlah peluru, pisau, kereta dan buku berkaitan Daish daripada suspek.

Jamaah Ansharut Daulah dipercayai merancang dan melancarkan serangan di Indonesia termasuk di Jakarta pada Januari tahun lalu menyebabkan empat orang maut termasuk penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:34 AM