Oleh Na'imah Mohamed


Kapar: Polis menggagalkan cubaan lima lelaki untuk menyamun sebuah kedai serbaneka dalam kejadian di Jalan Sungai Kapar Indah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lima lelaki bersenjatakan parang panjang itu cuba melarikan sejumlah wang tunai serta beberapa botol minuman keras sebelum perbuatan mereka disedari sepasukan polis peronda.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, lima suspek terbabit ditahan ketika cuba melarikan diri selepas beberapa pekerja di kedai berkenaan menjerit meminta tolong.

"Panik dengan jeritan dua pekerja terbabit, lima suspek berusia antara 23 hingga 26 tahun itu terus lari keluar dari kedai berkenaan dan ia disedari anggota peronda yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

"Polis terus bertindak menahan mereka dan merampas empat bilah parang, enam botol arak, serta sebuah Proton Waja yang dilaporkan dicuri di Bandar Baru Klang, baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 1:43 PM