Oleh Salman Hamat


Butterworth: Anggota polis patah tangan kiri dan rakannya bengkak jari telunjuk kiri selepas kereta peronda (MPV) dinaiki terbabas dan melanggar tiang rumah akibat dihimpit van cuba ditahan di Jalan Seri Ara 1, Butterworth, 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, anggota polis berkenaan turut melepaskan satu das tembakan ke arah van itu sebagai amaran berikutan sebelum itu pemandunya beberapa kali menghimpit MPV polis.

"Terdahulu dua anggota melakukan rondaan terserempak dengan van dalam keadaan mencurigakan itu dan semakan dilakukan mendapati ia dilaporkan hilang.

"Ketika cuba memotong van itu pemandunya menghimpit kenderaan polis sebelum memecut laju," katanya.

Abdul Rahman berkata, anggota berkenaan terpaksa melepaskan satu das tembakan dalam usaha memaksa pemandu van memberhentikan kenderaannya itu.

Namun pemandu van itu tidak mengendahkan tembakan amaran sebaliknya terus menghimpit kenderaan polis hingga terbabas.

Van berkenaan turut terbabas dan melanggar kereta di sebelah kanan jalan namun pemandunya berjaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 2:38 PM