Kuala Lumpur: Tujuh peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari ketiga Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini, malam tadi.

Antara yang memperdengarkan bacaan ialah peserta termuda, Awatif Abd Majid, 22, yang mewakili Pulau Pinang.

Berkelulusan Diploma Qiraat dan Taranum dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), beliau memperdengarkan bacaan surah Al-Rum, ayat 40.

“Ini kali ketiga saya menyertai tilawah ini dan berharap saya dapat ke peringkat antarabangsa nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Selasiah Akob, 67, dari Perlis yang juga peserta tertua daripada keseluruhan 28 peserta, memperdengarkan bacaan surah Al-Nahl, ayat 40.

Peserta lain ialah Mohamad Nor Ahmad (Wilayah Persekutuan), Abdul Khair Jalil (Selangor), Nor Syuhada Mohamad (Johor), Syamsul Abu Hasan Al-Shaari (Perak) dan Nor Hidayah Abd Rahman (Terengganu).

Majlis Tilawah Al-Quran yang berlangsung selama enam hari bermula pada Isnin lepas itu, menghimpunkan sebanyak 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.

Johan qari dan qariah peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 9-14 Jun depan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:55 AM