DUA motosikal berkuasa tinggi jenama Suzuki mampu penuhi keperluan penunggangnya.
DUA motosikal berkuasa tinggi jenama Suzuki mampu penuhi keperluan penunggangnya.
SUZUKI Gladius motosikal kategori naked.
SUZUKI Gladius motosikal kategori naked.
SUZUKI V-Strom sesuai untuk tunggangan jarak jauh.
SUZUKI V-Strom sesuai untuk tunggangan jarak jauh.
TANGKI petrol dengan meter kelajuan gabungan digital dan analog.
TANGKI petrol dengan meter kelajuan gabungan digital dan analog.
KOMBINASI lampu depan yang menarik.
KOMBINASI lampu depan yang menarik.
SISTEM ekzos salur bunyi menarik.
SISTEM ekzos salur bunyi menarik.
MENGGUNAKAN enjin bersesaran 645 cc DOHC.
MENGGUNAKAN enjin bersesaran 645 cc DOHC.
Oleh Badrila Jamlus dan Erywan Norshal


Kehadiran pelbagai jenis model motosikal berkuasa tinggi di pasaran negara ini membuktikan permintaan terhadap jentera dua roda ini semakin meningkat dan didorong oleh beberapa faktor, termasuk harganya yang berdaya saing, khususnya motosikal dengan enjin di bawah 1,000cc.

Paling ketara apabila sesetengah motosikal itu dipasang di negara ini (CKD), menjadikan harganya lebih murah berbanding model diimport sepenuhnya (CBU), malah jenama terkenal buatan Eropah turut dijual di bawah RM50,000 dan ini tidak termasuk model keluaran Jepun yang rata-ratanya kini mendominasi jalan raya negara ini.

Tidak hairan, melihat permintaan pasaran semasa, pengedar motosikal jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd (Suzuki Assemblers) memperkenalkan model segmen pertengahannya menerusi tiga model menarik iaitu Suzuki Gladius ABS, V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS.

Biarpun ketiga-tiganya mempunyai enjin bersesaran 650cc, setiap model itu memenuhi keperluan penunggang berbeza menerusi tarikannya yang tersendiri.

Kesempatan penulis menunggang uji Suzuki V-Strom 650 ABS manakala Gladius ABS ditunggang oleh Erywan baru-baru ini, dapat merasai pengalaman sebenar kehebatan jentera yang dihasilkan Suzuki meskipun dipadankan dengan enjin sama berkuasa 650cc.

Cuma bezanya, Suzuki V-Strom 650 ABS termasuk dalam kategori motosikal jenis ‘Tourer’, dengan ciri ketinggiannya 1,405mm (55.3 inci) sesuai bagi penunggang yang mempunyai fizikal badan tinggi atau sederhana namun ketinggian spring di bahagian tengah motosikal itu boleh dilaras mengikut keselesaan penunggang.

Ketika diuji di lebuh raya MEX pada kelajuan 170 kilometer sejam (km/j), ia mampu meluncur dengan stabil dibantu oleh penghadang angin tiga laras tanpa masalah, malah padanan brek cakera depan bersaiz 310mm dan belakang 260mm dibantu oleh sistem brek anti kunci (ABS) memberi tahap cengkaman lebih baik ketika membrek.

Ketika enjin 645cc V-Twin penyejukan cecair yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dikerah mendaki bukit, penulis mendapati penukaran klac motosikal itu sangat lancar, malah mudah dikendali ketika mencelah-celah di laluan sibuk Kuala Lumpur, sekali gus sesuai dijadikan pilihan bagi mereka yang mahu menunggang motosikal jenis ini ke tempat kerja.

Dengan berat keseluruhan 214 kilogram, motosikal itu turut dipadankan dengan kerangka aluminium dan lengan ayun yang ringan mampu menyumbang kepada prestasi kendalian serta kestabilan ketika memecut laju.

Mereka yang mahu motosikal ini lebih sporty boleh memadankan dengan beberapa aksesori tambahan seperti kotak penyimpanan direka khas supaya selari dengan titik graviti motosikal dan tidak mengganggu pengendalian. Ia cukup besar untuk menyimpan topi keledar dan barangan peribadi untuk perjalanan selama beberapa hari.

Sementara itu, Suzuki Gladius ABS adalah jentera dua roda segmen naked dan sesuai untuk mereka yang baru berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Jentera tunggang uji ini bersaing rapat dengan beberapa jentera buatan negara matahari terbit lain yang mempunyai kapasiti enjin hampir sama seperti Yamaha XJ6 serta Kawasaki ER-6N.

Penulis sukar membezakan ketiga-tiga motosikal, tetapi secara peribadi Suzuki Gladius ABS mempu­nyai kehebatan tersendiri, terutama dari segi pengendaliannya.

Ia boleh dikatakan motosikal yang selesa ditunggang dengan posisi tempat duduknya biarpun mempunyai pembonceng di belakangnya.

Pemegangnya pula mudah dicapai, malah perehat kaki berada di posisi terbaik dan sesuai dengan ketinggian penulis 1.63 meter.

Kuasa dibekalkan oleh enjin berbentuk V bersesaran 645cc banyak memberi kelebihan untuk membuat­kan jentera ini lebih hebat dan seronok untuk tunggangan.

Sebaik menghidupkan enjinnya, bunyi dihasilkan sangat ‘enak’, lebih-lebih lagi ketika memulas pendikit pada tahap maksimum.

Generasi Gladius ini dipertingkat dengan penggunaan penyuntik bahan api 10 lubang, pendikit injap berkembar dan sistem ‘Automatic Idle Speed Control’.

Melalui peningkatan itu, tindak balas pendikitnya sangat sensitif kerana ia mampu menyalurkan kuasa mengikut kemahuan penunggangnya biarpun berada pada gear tinggi.

Bagi menguji kemampuan itu, penulis perlu memulas pendikit secara maksimum dan mudah memecut sehingga 180 km/j dengan menggunakan gear enam.

Akibat tiada penghadang angin, hasrat penulis untuk memecut kelajuan maksimum sedikit terbatas.

Namun pada kelajuan itu, penulis rasakan jentera ini sangat stabil, mungkin kerana faktor beratnya yang mencecah sehingga 202 kg.

Melihat kepada suspensi pula, penyerap hentaknya sangat memuaskan, lebih-lebih lagi berdepan keadaan jalan agresif dan berselekoh. Malah, ia mampu menyerap keadaan jalan yang tidak rata serta rasa kurang gegeran pada RPM tinggi.

Selain itu, penulis berpuas hati dengan sistem brek digunakan kerana ia sungguh meyakinkan bagi mengurangkan kelajuan atau menekan brek pada tahap ekstrem.

INFO

SUZUKI V-STROM 650 ABS

ENJIN: Bersesaran 645cc DOHC, dua silinder dan penyejukan cecair

TRANSMISI: Enam kelajuan

BERAT: 214 kg

PANJANG: 2,290mm

TINGGI: 1,405mm

KAPASITI TANGKI PETROL: 20 liter

BREK DEPAN: Cakera berkembar 310mm

BREK BELAKANG: Cakera tunggal 260mm

HARGA: RM41,900 (tidak termasuk insurans)

SUZUKI GLADIUS 650 ABS

ENJIN: Bersesaran 645 cc DOHC, dua silinder dan penyejukan cecair

TRANSMISI: Enam kelajuan

BERAT: 205 kg

PANJANG: 2,130 mm

TINGGI: 1,090 mm

KAPASITI TANGKI PETROL: 14.5 liter

BREK DEPAN: Cakera berkembar 290 mm

BREK BELAKANG: Cakera tunggal 240 mm

HARGA: RM39,900 (tidak termasuk insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:06 AM