FAHRIN, Fara dan Fiza akan bergandingan dalam Anugerah Skrin 2014
FAHRIN, Fara dan Fiza akan bergandingan dalam Anugerah Skrin 2014
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kredibilitinya dalam bidang pengacaraan tidak perlu dipertikaikan lagi. Justeru, tidak hairanlah Fahrin Ahmad terus menjadi pilihan pelbagai pihak untuk mengacara program besar dalam bidang seni.

Terbaru, pelakon yang kembali meningkat populariti menerusi siri Maaf Jika Aku Tak Sempurna ini bakal tampil mengacara Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) pada 1 November dan berikutnya, Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 7 November ini.

Ditemui pada sesi memperkenalkan pengacara ASK 2014, Fahrin, 35, menganggap dirinya terpaksa memikul cabaran besar bagi memastikan dapat menjalankan kedua-dua tugasan ini dengan baik.

"Bayangkan saya kena mengacara dua program besar berturut-turut. Untuk FFM26 saya digandingkan dengan pelakon Nur Fazura, manakala ASK 2014 pula dengan tujuh pengacara bersama iaitu Zul Ariffin, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan dan Fara Fauzana.

"Ada segmen yang akan menggandingkan saya dengan mereka dan ada yang tiada. Tempoh yang ada iaitu hanya seminggu membuatkan saya terpaksa banyak berfikir untuk menampakkan perbezaan mengacara kedua-dua program ini.

"Saya kena buat kelainan supaya peminat boleh nampak pendekatan dan gaya yang agak berbeza. Bagaimanapun, saya tidak menggelabah kerana terlalu sibuk untuk fikirkan hal itu.

"Sepatutnya FFM26 berlangsung lebih awal tapi ditangguhkan kepada tarikh I November berikutan masalah tertentu. Nak tak nak, saya kenalah pikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Fahrin berkata, ini tugasannya buat kali pertama untuk ASK 2014 dan sudah semestinya dia akan melakukan yang terbaik agar disukai dan diingati peminat yang menonton nanti.

"Dalam sesuatu anugerah, penonton mesti mahukan unsur humor dan tidak terlalu formal kerana mereka akan bosan. Saya bukanlah pelawak tapi saya akan cuba buat yang terbaik," katanya.

Menyentuh berkenaan populariti yang dikecapinya sekarang, Fahrin menganggapnya hanya bersifat sementara dan tidak terkejut apabila namanya kembali dilupakan peminat selepas drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna berakhir.

"Menjadi perkara biasa sesiapa yang muncul dalam mana-mana drama slot Akasia akan popular di mata penonton. Ia adalah bermusim dan saya pernah melaluinya. Kitarannya memang begitu.

"Saya tak panik nama hilang sekejap kerana yang penting saya terus bertahan dalam bidang seni. Itulah juga yang perlu dilakukan oleh pelakon baru yang melonjak naik. Mereka kena pandai meng­gunakan peluang dengan merancang strategi sendiri untuk kekal bertahan dalam bidang hiburan tempatan," katanya.

Sementara itu, Fara Fauzana dan Fiza gembira diberi penghormatan untuk tampil menjadi pengacara bersama ASK 2014 bergandingan dengan Fahrin dan artis lain.

Bagi mereka, tiada masalah besar yang dihadapi kerana kedua-duanya sudah berpengalaman dalam pengacaraan. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak menolak mempunyai perasaan gementar apabila beraksi nanti.

"Dulu saya pernah terbabit dalam Anugerah Juara Lagu 21 pada 2006 yang menampilkan lima pengacara. Asyik jadi pengacara utama pun rasa bosan juga, jadi apa salahnya, saya diberikan tugas pengacara bersama untuk ASK 2014.

"Saya tak tahu lagi konsepnya dan rasa tak sabar nak tunggu bagaimana kami akan bergandingan dengan Fahrin. Saya pun tak pernah bergandingan dengannya sebelum ini.

"Kalau berlakon bersama memang pernah dalam drama siri Fara dulu. Saya dah biasa berkongsi pentas dengan sesiapa sahaja dan nampak tiada masalah akan berlaku. Yang penting hanyalah latihan yang mencukupi dan ketepatan masa," kata Fara yang kali kedua tampil mengacara dalam Anugerah Skrin.

Fiza pula muncul mengacara buat kali pertama dalam program berbentuk hiburan kerana sebelum ini lebih terdedah kepada program berkonsep kekeluargaan.

"Ia satu pengalaman baru dan tak dinafikan, saya turut berasa gementar. Apabila diberitahu kena jadi pengacara untuk ASK 2014, saya terus menonton program ASK terdahulu di laman YouTube sebagai rujukan.

"Apapun, saya tiada masalah hendak bergandingan dengan sesiapa pun di pentas. Biasanya, saya tidak bergantung dengan skrip ketika mengacara dan menggunakan kreativiti sendiri. Saya hanya jadikan skrip sebagai panduan dan harapnya saya tak terlupa dialog kerana gementar," katanya.

Dalam pada itu, pengacara yang popular menerusi program Nona, Wanita Hari Ini dan Sembang Sahur mengakui teruja kerana selepas tujuh tahun mengacara, peminat mula mengenalinya.

"Dulu memang orang tak kenal sangat. Sesekali diberi peluang buat program hiburan bagus juga. Bagaimanapun, saya menolak tanggapan sebagai 'anak emas TV3' kerana saya bekerja ikut kepercayaan pihak pengurusan. Untuk jadi legasi Wan Zaleha Radzi, rasanya masih terlalu jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:03 AM