ROBBEN (tengah) alami kecederaan paha ketika beraksi bersama skuad Belanda.
ROBBEN (tengah) alami kecederaan paha ketika beraksi bersama skuad Belanda.
AFP

Berlin: Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben dijangka cergas bagi aksi Bundesliga menentang Borussia Dortmund, Sabtu ini selepas kecederaan ketika bermain untuk Belanda dilihat tidak serius berbanding sebelumnya.

Robben, 32, dikeluarkan pada rehat babak pertama ketika Belanda menang 3-1 di Luxembourg pada kelayakan Piala Dunia Ahad lalu dengan kecederaan paha selepas menjaringkan gol pada babak pertama.

Dalam satu kenyataan di laman web mereka, Bayern menyatakan “pemeriksaan menyeluruh oleh pakar perubatan kelab Dr Volker Braun mendedahkan pemain sayap itu tidak mengalami kecederaan teruk.

“Pemain Belanda itu boleh diturunkan bagi pertembungan Bundesliga dengan Borussia Dortmund, Sabtu ini.”

Rakan sepasukan Robben, Jerome Boateng (lutut) dan Franck Ribery (otot) berlatih seperti biasa kelmarin namun sama ada mereka boleh bermain Sabtu ini belum dipastikan.

Bayern terikat sama mata dengan RB Leipzig di puncak carta Bundesliga selepas 10 perlawanan menjelang kunjungan ke Signal Iduna Park Sabtu ini bagi aksi ‘Klassiker’ menentang pasukan tangga kelima, Dortmund. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 8:21 AM