ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Oleh Alias Abd Rani

Bintulu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun tertimbus selepas lori sarat muatan baja merempuh sebuah rumah di Batu 8, Jalan Miri-Bintulu, 12.30 tengah hari tadi.

Mangsa Mohd Ashraf Abdullah, 5, disahkan meninggal dunia dengan mayatnya ditemui pada jam 3.35 petang tadi.

Ia dipercayai berlaku apabila lori itu dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapan yang terbabit kemalangan sebelum merempuh rumah, pada 12.30 tengah hari.

Mayat kemudian diserahkan kepada pihak hospital yang berada di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Balai Bintulu, Di Hata Gobel berkata, bomba giat menjalankan operasi mencari kanak-kanak bawah timbunan baja.

"Kami terima panggilan pada 12.45 tengah hari dan menggerakkan lapan anggota ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Mayat mangsa berjaya ditemui selepas hampir tiga jam kerja menggali dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 3:33 PM