Mayat Sahirza ditemui, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Mayat Sahirza ditemui, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Bintulu: Mayat mangsa tragedi bot karam di Sungai Batang Rejang, Belaga yang sudah ditemui pagi tadi dikenal pasti sebagai Sahirza Mahir,31, manakala tiga lagi kanak-kanak perempuan masih belum ditemui.

Mangsa ditemui berhampiran tebing sungai berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian itu pada 10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hata Gobel berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota polis.

Mangsa yang masih hilang adalah Sumitasen Thomas,15, Ardiana Rosnah,12 dan Nur Amirsha berusia empat tahun.

Difahamkan, unit udara bomba Miri turut terbabit bagi mengesan tiga lagi mangsa berkenaan selain bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Jabatan Pertahanan Awam dan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Melay Tingom

berkata, bot berkenaan terbalik dan karam akibat ombak kuat dari tongkang.

Katanya, kebanyakan penumpang adalah penduduk di sekitar kawasan kampung berdekatan kawasan itu.

"Mereka yang selamat sudah mendapatkan rawatan di klinik Belaga, manakala mangsa lain masih sedang dikesan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 4:57 PM