ISMA Halil.
ISMA Halil.
Abnor Hamizam Abd Manap


“USAH pandang remeh keupayaan radio Internet kerana ia mempunyai kelompok peminatnya tersendiri, bahkan medium ini paling mudah untuk diakses di mana sahaja selagi terdapat capaian Internet.

“Saya sudah terbabit dengan radio Internet Bapakku FM sejak 10 tahun lalu dan Alhamdulillah, Bapakku FM semakin mendapat perhatian pendengar,” kata penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 47.

Isma Halil sebelum ini memulakan kerjaya sebagai juruhebah di stesen Muzik FM, sebuah stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1994.

Katanya, selepas menjadi penyampai radio di beberapa stesen lain, dia mengambil keputusan untuk membuka radio Internet sendiri.

“Mengambil kira pandangan pendengar ketika itu yang mahu saya terus ke udara, saya bersetuju membuka Bapakku FM.

“Cabaran memang banyak apatah lagi ketika itu puluhan radio Internet yang muncul, namun Bapakku FM masih bertahan sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi sempena sambutan Hari Radio Sedunia, hari ini.

Isma Halil berkata, dengan adanya Bapakku FM, dia bebas berkarya malah masih mengekalkan segmen kisah seram pada setiap malam Jumaat.

Katanya, Facebook menjadi medium untuknya berkomunikasi bersama pendengar ketika ke udara dan menjadikan dirinya lebih rapat bersama pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:27 PM