LULIC (tengah) dirai rakan sepasukan.
LULIC (tengah) dirai rakan sepasukan.

Rome: Lazio berpeluang untuk menjulang trofi pertama sejak 2013 apabila mereka melangkah ke final Piala Itali dan bertemu Juventus selepas mengatasi Napoli 1-0 pada perlawanan separuh akhir kedua, semalam.

Ketika perlawanan pertama berkesudahan 1-1, Lazio dilihat bakal tumbang sekali lagi di Stadio San Paolo berbanding pasukan yang tidak pernah mereka tewaskan sejak tujuh pertemuan lalu itu.

Tetapi, gol tunggal yang dihasilkan Senad Lulic hasil hantaran lintang Anderson pada minit ke-79, sudah cukup untuk memastikan kelab Rome itu mencatat kemenangan ke atas tuan rumah.

Skuad kendalian Rafa Benitez itu berpeluang untuk menyamakan kedudukan tetapi cubaan Manolo Gabbiadini terkena palang pada minit ke-30 manakala rembatan voli jarak jauh Marek Hamsik sedikit tersasar.

Pemain tengah Bosnia, Lulic wajar dianggap pemain terbaik perlawanan selepas berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi apabila mengeluarkan bola di atas garisan gol ketika penjaga gol Etrit Berisha sudah pun ditewaskan Lorenzo Insigne.

Dengan keputusan itu, Lazio membuktikan mereka adalah pasukan paling cemerlang di Itali ketika ini selain Juve.

Juara enam kali itu akan berdepan Juventus pada final Piala Itali yang dijadualkan 7 Jun selepas kelab Turin itu membenam Fiorentina 3-0 kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:10 AM