BAZLI (dua dari kanan), Fakhrul (tiga dari kanan) dan Najdi (kiri) bersama tetamu pada sidang media Konsert REUNIC.
BAZLI (dua dari kanan), Fakhrul (tiga dari kanan) dan Najdi (kiri) bersama tetamu pada sidang media Konsert REUNIC.
Nor Akmar Samudin


Hati ibu bapa mana tidak luluh melihat anak kecil yang baru berusia empat tahun terpaksa berjuang melawan penyakit. Mohd Syahid iaitu anak kepada anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli Hazwan kini mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser lymphoma tahap tiga.

Syahid sudah dua kali menjalani tawaran kemoterapi dan rawatan ketiga akan menyusul. Menurut Bazli, dia amat sedih dengan keadaan anak tunggalnya itu. Dia dan isteri akan terus berusaha dan berikhtiar merawat penyakit anak mereka.

Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan Bazli dan sempena sambutan ulang tahun ke-15 UNIC, Hafiz Hamidun yang juga anggota asal kumpulan itu dan Bazli mencetuskan idea mengadakan konsert ReUNIC yang menggabungkan semula semua anggota.

Sejarah penubuhan UNIC generasi pertama terdiri daripada Bazli, Fitri Haris, Wan Syarifudin dan Mohd Affendi. Selepas itu berlaku pertukaran dan pengunduran anggota.

Bekas anggota UNIC selain Hafiz ialah Mohamad Fitri Mohamad Haris (Fitri Haris), Ahmad Fadzli Abd Aziz (Fadzli), Wan Sharifuddin Wan Hassan (Wan Shah), Mohd Afendi Jahri (Apen) dan Syed Mohd Azlan Syed Amirruddin (Azlan).

Kini UNIC dibarisi Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul), Bazli dan anggota baru, Wan Najdi Wan Mohd Noh (Imam Muda Najdi).

Meskipun, anggota bersilih ganti UNIC masih bertapak dalam dunia hiburan nasyid tanah air. Jika dihitung anggota asal kumpulan ini, hanya Bazli yang masih bersama dan membawa nama UNIC sehingga hari ini.

Bagi sesebuah kumpulan atau band, perpecahan ahli adalah perkara biasa tetapi apa yang berlaku tidak membuatkan mereka bermusuhan malah masih berhubung antara satu sama lain. Menurut Hafiz, idea untuk mengadakan konsert itu sudah difikirkannya sejak setahun lalu namun atas kesibukan masing-masing ia sukar dilaksanakan.

“Mungkin sudah diputuskan Allah SWT, apabila anak Bazli jatuh sakit maka kami rasa inilah masa terbaik untuk bersatu merealisasikan konsert ReUNIC. Ia bukan sahaja buah tangan istimewa buat peminat tetapi juga bertujuan membuat pungutan tabung amal untuk anak Bazli dan membantu kanak-kanak lain yang menjalani rawatan kanser di HKL.

“Apabila saya pergi melawat Syahid di hospital, ada juga kanak-kanak lain senasib dengannya. Apabila melihat wajah ibu bapa yang menjaga anak mereka di wad itu, sayu hati saya,” katanya.

Tidak mahu melengahkan lagi penganjuran konsert itu, mereka sepakat memilih tarikh 23 April ini. Ia juga tarikh yang baik iaitu malam Israk Mikraj. ReUNIC akan diadakan di Dewan Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jam 9 malam.

Jelas Hafiz, mereka merancang menganjurkan konsert itu tanpa ada penaja dan ketika mencari lokasi, USIM tampil menawarkan tempat mereka.

“Oleh itu saya berharap konsert amal ini ini mendapat sokongan pelbagai pihak,” katanya.

Tiket boleh dibeli secara online di www.reunic.com dan juga dipintu masuk dewan USIM pada harga RM15, RM25, RM50 dan RM100 pada hari berlangsungnya konsert itu. Mereka yang mahu memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan mengisi tabung yang disediakan.

Pada konsert itu, UNIC akan menyanyikan koleksi lagu popular mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:33 PM