Oleh Afiq Hanif


Laporan Kebocoran Data Global 2014 yang baru dibentang InfoWatch, penyedia perlindungan data global menunjukkan industri perkhidmatan perbankan dan kewangan berisiko tinggi mengalami kebocoran data lebih 40 peratus berbanding sektor lain tahun lalu.

Dalam laporan terbabit, sebanyak 313 juta data peribadi industri perbankan dan kewangan bocor, sekali gus mengunjurkan kebocoran data terhadap sektor terbabit dijangka tinggi pada tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif InfoWatch dan Pengasas Bersama Kaspersky Lab, Natalya Kaspersky, kebocoran data menjadi ancaman lama yang berbentuk baru lebih berbahaya dan boleh membawa kerosakan lebih besar disebabkan teknologi moden dan kurangnya langkah pencegahan kebocoran data oleh organisasi.

“Kebocoran data tidak lama lagi akan mengatasi ancaman lain terhadap kewangan dan reputasi sesebuah organisasi.

“Pengguna perlu mengambil perhatian bahawa 92 peratus daripada maklumat yang dibocorkan adalah data peribadi, jadi sebenarnya anda dan maklumat peribadi anda berada dalam risiko apabila organisasi gagal mengambil langkah pencegahan kebocoran yang secukupnya,” kata Kaspersky.

Katanya, kaedah data dibocorkan beralih daripada kaedah tradisional iaitu salah guna salinan kepada penyaluran data keluar menerusi pelayar dan cloud.

“Bagi sebuah organisasi, walaupun perkhidmatan penyimpanan data secara cloud menawarkan perkhidmatan yang lancar dan kemudahan penyimpanan serta capaian, data dalam cloud perlu dilindungi daripada kebocoran lebih-lebih lagi industri perkhidmatan perbankan dan kewangan, penjagaan kesihatan dan sektor awam,” katanya.

Walaupun segmen penjagaan kesihatan mencatatkan bilangan tertinggi kes kebocoran data iaitu 352 kes, jumlah data peribadi yang terjejas adalah jauh lebih rendah berbanding industri perbankan dan kewangan iaitu 58 juta atau tujuh peratus daripada jumlah rekod.

Pusat Analisis InfoWatch menyiapkan laporan terbabit berdasarkan 1,395 kes kebocoran maklumat sulit seperti yang dilaporkan di media dan sumber umum pada 2014.

Menurut InfoWatch, lebih daripada 767 juta data peribadi terjejas meliputi 92 peratus daripada pelbagai jenis maklumat yang dibocorkan dalam 1,395 kes pada 2014.

Laporan terbabit merekodkan 14 kebocoran besar yang mana setiap insiden menyebabkan kebocoran lebih daripada 10 juta rekod data peribadi.

Walaupun kebocoran data secara tidak sengaja dan sengaja secara relatifnya pada kadar yang sama, trend terkini menunjukkan kebocoran data yang disengajakan mengalami kejatuhan sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Tiba masanya pemilik perniagaan dan pengguna cloud memandang serius kepentingan pencegahan kebocoran data memandangkan bilangan kes yang dilaporkan di media kini meningkat hampir dua kali ganda dalam hanya lima tahun berbanding 747 kes kebocoran data yang dilaporkan pada 2009.

“Satu kebocoran data saja sudah mampu mengakibatkan kerugian berbillion ringgit dan kesan lebih parah terhadap reputasi,” tambah Kaspersky.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:09 PM