RONALDO kini mendahului Messi dalam jumlah jaringan La Liga.
RONALDO kini mendahului Messi dalam jumlah jaringan La Liga.
AP

Barcelona, Sepanyol: Persembahan mengagumkan lima gol Cristiano Ronaldo Ahad lalu menyemarakkan semula saingannya dengan musuh utama Lionel Messi bagi memburu gelaran penjaring terbanyak La Liga Sepanyol musim ini.

Messi mendapat peluangnya untuk membenam kelab bermasalah Almeria awal pagi esok, apabila Barcelona berazam mempertahankan kelebihan empat mata di depan Real Madrid di puncak liga.

Beberapa jam kemudian, Real akan bertemu jiran setempat Rayo Vallecano dan kelihatan mampu mengekalkan rentak daripada kemenangan 9-1 ke atas Granada, Ahad lalu apabila Ronaldo menyumbat lima gol.

“Kami bersedia memenangi semua baki perlawanan hingga hujung musim,” jelas pemain tengah Real, James Rodriguez. “Kami memiliki bakat dan keyakinan untuk melakukannya.”

Messi dan Ronaldo menerajui senarai penjaring liga Sepanyol sejak lima musim lalu dan tahun ini ternyata persaingan paling sengit antara kedua-duanya.

Ronaldo melonjak di depan pada permulaan kempen dengan 23 gol selepas 15 perlawanan dan Messi dilihat sukar mengejar apabila sekadar mengumpul 13 gol.

Messi kemudian bertindak cemerlang dengan meledak banyak gol bagi membantu Barcelona merampas kembali kedudukan pendahulu daripada Real sekali gus mengatasi Ronaldo 32-30 dalam persaingan peribadi.

Namun Ronaldo sudah menyempurnakan enam gol dalam dua perlawanan terakhir, termasuk kali pertama menyumbat lima gol dalam kariernya untuk mendahului 36-32.

Ronaldo berpeluang menambah jaringannya menentang Rayo yang mengamalkan corak bertahan dengan lima pemain pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:32 AM