Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Strategi dirancang ternyata menjadi sekali gus melayakkan pelakon Shah Iskandar Mahfuz mengulangi kejayaan tahun lalu apabila memang kategori Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands, malam kelmarin.

Mengakui namanya tidak segah pencabar lain iaitu Aaron Aziz, Adi Putra, Amar Baharin dan Sharnaaz Ahmad, namun percaturannya dengan mendekati hati peminat menerusi sesi siri jelajah ABPBH ternyata membawa kejayaan buatnya.

“Syukur saya menang lagi tahun ini. Sebaik dicalonkan, saya mula mengulangi apa yang dilakukan seperti dulu iaitu mendekati peminat menerusi laman sosial Twitter dan Facebook.

“Juga, saya tak ketinggalan turun padang bertemu peminat dalam setiap siri jelajah yang diadakan. Inilah cara berkesan yang berjaya memenangi hati peminat untuk mengundi saya.

“Bagaimanapun, tak dinafikan saingan untuk kategori ini sangat sengit dan kemenangan ini cukup bermakna buat saya. Bahkan, ia boleh dijadikan kena­ngan untuk dikongsi bersama anak cucu saya nanti,” katanya.

Menganggap dirinya masih baru bertapak di bumi Malaysia, pelakon kelahiran Woodlands, Singapura ini bertekad mahu meneruskan kualiti lakonannya dalam setiap drama yang dibintngi.

“Siapa yang tak berbangga apabila nama semakin jadi sebutan ramai dan mendapat perhatian penerbit yang memberikan tawaran berlakon. Namun, saya tak pernah anggap nak bersaing dengan mana-mana pelakon yang ada kerana masing-masing ada rezeki sendiri.

“Apa yang dilakukan kami sekarang ialah menghiburkan peminat selain nak menggerakkan industri lakonan agar lebih berdaya saing dan memberi pulangan yang setimpal kepada semua pihak,” katanya.

Mengulas perkembangan terbarunya kariernya, Shah, 33, kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul BIB terbitan Zeel Production untuk saluran HyppTV.

“Saya memang terikat dengan penggambaran drama ini sepenuhnya hingga akhir April. Saya memegang peranan utama bergandingan dengan Ika Nabila. Kisahnya memang menarik berkisarkan kehidupan pelajar kolej,” katanya yang pernah bergelar pengacara di Singapura.

Sudah pulih

Shah juga lega kerana penyakit jangkitan kuman pada paru-paru yang dialaminya kini sudah pulih sepenuhnya.

Berat badannya juga kembali naik selepas mengalami penyusutan mendadak sebelum ini.

“Saya gembira kerana semuanya sudah kembali normal. Berat badan saya dah naik, tapi muka masih nampak susut. Mungkin kerana itu, ada segelintir pihak ingat saya masih lagi sakit.

“Cuma nak dijelaskan, saya bukanlah terkena benda-benda tak elok seperti kena santau sebagaimana yang dihebohkan segelintir pihak. Tiada yang negatifnya penyakit yang saya hidap ini.

“Saya menafikan mereka-reka cerita kerana nakkan perhatian.

Ia datang daripada orang lain. Apapun ini semua ini lumrah dalam bidang seni dan nak tak nak saya kenalah terima dengan hati terbuka,” katanya.

Shah berkata, sepanjang dia sakit, ibunya yang berada di Singapura turut mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya termasuk menyuruhnya menjaga makan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:31 AM