Zul Ariffin
Zul Ariffin
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Saya bukan tarik diri untuk selama-lamanya. Ia buat masa ini saja. InsyaAllah, akan datang nanti lain cerita," kata pelakon Zul Ariffin mengulas penarikan dirinya daripada menyertai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk edisi ke-34 tahun ini.

   Pengumuman terbabit yang dibuatnya melalui satu kenyataan dimuat naik menerusi Instagram semalam, amat mengejutkan peminatnya dan mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata sedih dengan berita penarikan diri itu.

   Menurut Zul, keputusan berkenaan dibuat kerana dia ingin berehat memandangkan kerjanya belum bermula dan banyak yang tertunda. 

   "Jadi, rasanya tak mengapa saya tarik diri kerana nak fokus pada karier. Ditambah, kerja pun belum mula lagi sebenarnya dan banyak yang tertangguh. 

   "Alhamdulillah, saya nak kena mulakan benda (kerja) itu. Jadi, saya rasa perlu berehat sekejap daripada ikut serta kerana nak mula bekerja semula. 

   "Ia bukanlah isu penghijrahan atau apa. Tapi, kalau orang kata penarikan diri saya ini untuk beri peluang kepada orang lain dan bagi keuntungan kepada mereka, okey alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.

   Zul berkata, dia juga menghubungi pihak Berita Harian terlebih dulu dan menerangkan keputusannya sebelum menulis di Instagram. Katanya, mereka menerimanya dengan hati terbuka.

   "Peminat semua faham. Cuma, ada segelintir saja nak tahu kenapa. Tak apa, itu okey dan saya pun dah beritahu bukan sebab nak bersara ataupun 'hijrah'. Tujuan saya, hanya nak bersedia untuk bekerja macam orang lain juga.

   "Apapun, tiada masalah untuk saya hadir ke majlis yang dianjurkan nanti. Cuma, untuk terbabit sebagai peserta itu saya tarik diri awal-awal supaya tidak timbul masalah.

  "Banyak benda nak dibuat, jadi baiklah saya tarik diri awal-awal. Susunan jadual kerja saya, ada filem dan drama yang diatur oleh Astro. Saya sekarang menunggu keputusan mereka kerana penggambaran pun belum pasti," katanya. 

   Sepanjang pembabitan dalam industri seni, Zul pernah merangkul beberapa trofi di ABPBH antaranya Pelakon Filem Lelaki Popular di ABPBH30, Pasangan Serasi Filem (ABPBH31) dan Gandingan Serasi Di Layar (ABPBH28).

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 8:50 PM