Berpengalaman lapan tahun dalam bidang penyampaian radio, Tun Nadia Aminuddin, 29, menunjukkan kesungguhan ingin berjaya dalam profesion itu.

Ceria berceloteh di konti, pemegang ijazah undang-undang yang berasal dari Ipoh, Perak ini kekal dengan karakter itu, sekali gus membuatkan dia senang didampingi.

Setiap topik diketengahkan membuatkan pendengar menimbal dia bukan berhujah tanpa isi, sebaliknya mempunyai pendirian, malah tidak takut memberi pandangan dalam isu makanan.

Katanya, menu di Picnic Table membantunya mendapat gambaran mengenai diet sesuai.

“Hidangan sandwic mahupun minuman di sini mencerminkan keprihatinan pemiliknya me­nyajikan sesuatu yang sihat dan enak.

“Malah, keseimbangan bukan saja dalam ramuan setiap hida­ngan, malah mereka turut mengambil kira aspek rasa supaya mereka yang menjaga pemakanan boleh nikmati hidangan sedap.

“Saya berasa ia inisiatif bagus apabila mereka juga menawarkan khidmat penghantaran atau penyediaan luar bagi membantu pelanggan menikmati hidangan tanpa perlu menempuh trafik,” katanya.

Dari segi hidangan, Nadia gembira dengan hidangan Soft Shell Crab Sandwich.

“Saya suka hidangan laut, jadi Soft Shell Crab Sandwich yang memiliki rasa seimbang dan manis ketam membuatkan saya menyukainya. Manis udang bukan disebabkan perasa, sebaliknya isi ketam segar.

“Malah, roti seratnya organik kerana tiada bahan pengawet atau kimia digunakan. Jadi kafe ini pasti menjadi lokasi kegemaran saya kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:01 AM